862 kes baharu positif Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 862 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 22,225.

"Jumlah kes aktif pula adalah 7,681 kes," katanya.

Menurutnya, Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 673 bersamaan 78.1 peratus.

"Lebih banyak ujian makmal RT-PCR dapat dijalankan di Sabah serta dihantar ke Semenanjung," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 235 kes iaitu 27.3 peratus pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Kepayan dan Kluster Tembok.

"Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan penduduk tinggi, Selangor terus mencatatkan pertambahan kes dan kluster baru setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Pada hari ini, Selangor mencatatkan pertambahan sebanyak 132 kes dan daripada jumlah itu, 84 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada termasuk lapan kes dari kluster yang berkaitan dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, daripada 860 kes penularan di dalam negara, empat melibatkan pengunjung yang pulang dari Sabah.

"Ia menjadikan jumlah kes positif dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah 452 kes," katanya.

Selain Sabah dan Selangor, KKM merekodkan 17 kes di Kedah, Perak (9), Pulau Pinang (8), Labuan (6), Kuala Lumpur (6), Negeri Sembilan (6), Putrajaya (1), Johor (1) dan Kelantan (1) kes.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 95 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menerima tiga lagi kematian berkaitan Covid-19 dari hospital di Sabah," katanya.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 193 kes iaitu bersamaan dengan 0.87 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berdasarkan ringkasan kes kematian, kes kematian 191 hingga 193 merupakan orang tua yang berumur 59 hingga 90 tahun.

Ketiga-tiga pesakit mempunyai sejarah penyakit lain seperti buah pinggang kronik, darah tinggi dan kencing manis.

"KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.

Sementara itu, bilangan kes pulih kian bertambah apabila 634 lagi pesakit dibenar discaj hari ini.

"Jumlah kes pulih sepenuhnya adalah 14,351 kes," katanya.

Sebanyak 433 kes pulih direkodkan di Sabah manakala Kedah 109, Selangor 77 kes, Labuan 20 kes, Negeri Sembilan dua kes, Johor, Pahang serta Terengganu masing-masing satu kes.

[LIVE] Sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

[LIVE] Sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia

Posted by Sinar Harian on Tuesday, October 20, 2020