X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada jaminan PM selepas Muhyiddin bertahan lama

Jeffrey Kitingan, Muhyiddin Yassin
A
A

KOTA KINABALU - Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah usaha yang sia-sia kerana tiada jaminan siapa yang memegang jawatan itu akan dapat bertahan lama selepas ini.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan turut berkata, cadangan menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah tidak logik sedangkan Muhyiddin menyandang jawatan itu dengan baik.

"Jika mereka cakap Muhyiddin tidak memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen, adakah Dr Mahathir ada majoriti sedangkan beliau hanya ada lima ahli Parlimen," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menggesa semua rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) supaya mengetepikan soal politik pada masa ini.

Katanya, semua parti di bawah PN sepatutnya bersama-sama mengukuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin bukan menekan atau mengugut beliau.

"Saya bimbang tindakan seperti ini boleh mengundang peluang kepada pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk meruntuhkan kerajaan seperti yang dilakukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dalam masa seperti sekarang yang mana kita berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) dan krisis ekonomi, kenapa kita perlu menambah masalah lain yang memburukkan lagi ketidakstabilan politik. Bilalah perkara ini akan berakhir? Saya fikir mereka sepatutnya membantu mengukuhkan kerajaan, bukan melemahkannya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau turut berkata, ketika negara berdepan musuh tidak kelihatan seperti sekarang, semua parti sepatutnya bekerjasama memastikan kemenangan dalam peperangan itu.

Berhubung situasi di Sabah, Jeffrey berkata, kerajaan negeri sudah bersetuju supaya semua parti menumpukan kepada apa yang berlaku di Sabah ketika ini.

"Kita bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan kita memberi tumpuan kepada usaha menangani Covid-19 serta memulihkan ekonomi demi kebajikan dan kebaikan rakyat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!