Covid-19: Sebuah lagi sekolah di Perak ditutup

Notis penutupan SMK Raja Lope Nor Rashid yang tular di media sosial pagi tadi. (Notis makluman penutupan SMK Raja Lope Nor Rashid yang dikeluarkan JPN Perak di Facebook rasmi mereka pagi tadi.)
Notis penutupan SMK Raja Lope Nor Rashid yang tular di media sosial pagi tadi. (Notis makluman penutupan SMK Raja Lope Nor Rashid yang dikeluarkan JPN Perak di Facebook rasmi mereka pagi tadi.)
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Sebuah lagi sekolah di Perak ditutup akibat penularan kes jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid di Tanjung Piandang, Kerian ditutup selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Oktober depan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan.

Notis penutupan itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak hari ini.

Penutupan itu menjadikan keseluruhan 11 sekolah ditutup sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda negara, September lalu.

Sekolah terlibat adalah SMK King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang dalam daerah Larut Matang Selama.

Turut ditutup SK Lekir di Batu 8 dekat Sitiawan, SMK Aminuddin Baki dan SK Klebang Jaya masing-masing di Chemor, Ipoh manakala SK Tanah Kebun di Parit Buntar.

Semalam Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak memaklumkan terdapat dua kluster baharu iaitu kluster Buntar dan kluster Lekir di negeri ini yang menyumbang kepada 18 kes baharu positif Covid-19.

Katanya, lima kes dari kluster Buntar merupakan kes jangkitan tempatan dan turut membabitkan dua murid perempuan masing-masing berusia 8 dan 7 tahun yang tinggal di daerah Kerian.

Artikel Berkaitan:

"Empat kes pula direkodkan dari kluster Lekir membabitkan individu tinggal di daerah Perak Tengah dan Manjung, seorang daripada mereka merupakan murid perempuan berusia 10 tahun," katanya.