Bila Badai Reda – Cabaran Industri Air

Loji Rawatan Air Labohan Dagang memanfaatkan sumber air dari fasiliti Off -River Storage (ORS), membolehkan loji ini beroperasi walaupun terdapat pencemaran di sungai.
Loji Rawatan Air Labohan Dagang memanfaatkan sumber air dari fasiliti Off -River Storage (ORS), membolehkan loji ini beroperasi walaupun terdapat pencemaran di sungai.
A
A
A

Air merupakan nadi kehidupan. Walaupun Malaysia mempunyai sumber air mentah yang banyak, kita berdepan dengan peningkatan permintaan yang mendadak kebelakangan ini. Ramai yang memandang ringan hal sumber semula jadi ini, malah beranggapan bahawa proses membekalkan air bersih adalah murah dan mudah.

Operator perkhidmatan bekalan air di Malaysia kini berdepan pelbagai cabaran dalam memastikan pengguna mempunyai bekalan air bersih yang berterusan, dan memastikan kelestarian masa depan bekalan air. Memahami cabaran ini adalah kunci utama dalam mengenal pasti tanggungjawab bersama dalam memulihara sumber asli ini.

Kualiti Air Mentah

Menurut kajian mengenai sumber air tawar Malaysia oleh World Wildlife Foundation (WWF), 97% sumber air tawar negara ini berasal dari sungai. Kebanyakan loji rawatan air di Malaysia merawat air mentah dari sungai.

Walau bagaimanapun, kebanyakan sumber air ini tercemar akibat aktiviti manusia. Apabila sumber air mentah tercemar, loji rawatan air mungkin perlu ditutup apabila tahap pencemaran melebihi tahap parameter selamat yang dibenarkan dalam proses rawatan atau melebihi kemampuan proses rawatan.

Operator air seperti Air Selangor telah melabur dalam pemasangan sensor kualiti air di hulu kawasan loji rawatan air bagi mengesan bahan tercemar di dalam sungai. Apabila bahan tercemar dikesan, sistem akan menghantar amaran bagi membolehkan langkah pencegahan awal dan pemulihan diambil untuk menghalang air tercemar dari mengalir ke dalam loji.

Namun begitu, sensor ini mempunyai keterbatasan mengesan bahan tercemar seperti bau ataupun bahan yang tidak boleh melewatinya. Masyarakat juga perlu prihatin dalam melindungi sungai kita, sekaligus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan berhampiran sumber air.

Impak Perubahan Iklim

Perubahan iklim telah mengubah kitaran, ketersediaan, kuantiti dan kualiti bekalan air global. Antara kesannya adalah musim kemarau yang panjang dan hujan yang terlampau lebat. Walaupun hujan lebat secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan bekalan air mentah, ia juga akan mempengaruhi kemampuan tanah untuk menyerap air.

Limpahan air hujan akan membawa sampah-sarap, daun/ranting, minyak dan tanah dari permukaan mengalir ke dalam sungai, mengakibatkan air menjadi keruh dan berkurangan kualitinya.

Sampah-sarap, efl uen serta sisa kimia dan organik adalah punca utama pencemaran air di negara ini.
Sampah-sarap, efl uen serta sisa kimia dan organik adalah punca utama pencemaran air di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Merawat air keruh merupakan satu proses yang sangat kompleks. Loji rawatan air mungkin perlu ditutup atau tahap aliran air masuk perlu dikurangkan apabila loji tidak boleh memproses air yang terlampau keruh.

Bagi memastikan bekalan air yang berterusan, operator air terpaksa mengurangkan kebergantungan terhadap satu sumber air mentah selain mempertingkatkan kemampuan operasi merawat air yang mana memerlukan pelaburan tinggi.

Sebagai sebahagian daripada strategi mempertingkatkan daya tahan dan kemampuan penyimpanan sumber air mentah, Air Selangor membina fasiliti Off-River Storage (ORS) dan Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS). Fasiliti HORAS 600 berhampiran Sungai Selangor, contohnya, boleh menyediakan 300 juta liter sehari air mentah tambahan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor.

Antara usaha utama Air Selangor yang lain adalah pembinaan loji rawatan air moden di hiliran sumber air, iaitu LRA Semenyih 2 dan Labohan Dagang. Merujuk kepada insiden pencemaran di Sungai Batang Benar, Dr Zaini turut memaklumkan bahawa LRA Semenyih 2 beroperasi menghasilkan air terawat seperti biasa walaupun loji tersebut menerima sumber air mentah dari sungai yang sama.

Ini kerana LRA Semenyih 2 memproses air mentah yang tidak tercemar yang disimpan di ORS. Pada masa hadapan, bekalan air mentah dari kemudahan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan HORAS akan membolehkan loji rawatan air terus beroperasi meskipun sungai tercemar atau terkesan akibat perubahan iklim.

Walaupun dengan pendekatan baharu untuk menempatkan loji rawatan air di hiliran sumber air, kemampuan Air Selangor untuk menampung jangkaan permintaan bergantung pada margin simpanan air yang berada pada 11% setakat Disember 2019.

Bagi menyediakan bekalan air bersih dan selamat yang berterusan, pelaburan besar diperlukan dalam mengembangkan infrastruktur loji rawatan air yang sedia ada di negara ini. Walau bagaimanapun, belanjawan yang terhad dan tiada kenaikan kadar tarif sejak beberapa tahun lalu mengekang usaha operator air untuk mempertingkatkan kemampuan operasi bagi memenuhi permintaan.

Kos Rawatan Air

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kos untuk merawat 1,000 liter (satu meter padu [m3]) air adalah RM2.31 manakala purata tarif yang dikenakan kepada pengguna domestik di Malaysia adalah RM0.52 setiap m3 bagi 20 m3 air yang digunakan.

Secara purata, satu isi rumah menggunakan lebih kurang 20 m3 air sebulan, yang dianggarkan berjumlah RM10.40 bagi penggunaan yang dibilkan setiap bulan sedangkan kos sebenar untuk merawat dan membekalkan air adalah RM46.20.

Sebagai perbandingan, pengguna domestik di Singapura contohnya, akan dicaj S$1.21 (RM3.62) setiap m3 bagi 40 m3 pertama air yang digunakan. Bagi setiap 20 m3 pertama, warga Singapura perlu membayar S$24.20 (RM87.60), termasuk cukai pemuliharaan air sebanyak 50% dan kadar tetap air untuk setiap m3yang digunakan. Cukai pemuliharaan air ini dikenakan bagi menggalakkan warga Singapura untuk memulihara dan menghargai nilai air.

Ramai yang tidak peka dengan kos yang tinggi dan risiko yang ditanggung oleh operator air di Malaysia bagi menyediakan bekalan air bersih secara berterusan dan lestari. Sebagai contoh, anggaran kos untuk Air Selangor menggantikan satu kilometer (km) paip agihan adalah RM1 juta. Terdapat 6,000 km paip agihan simen asbestos (AC) usang yang terdapat dalam sistem pengagihan air.

Air Selangor perlu meningkatkan usaha dan sumber kewangan bagi kerja pemantauan dan penyelenggaraan paip-paip usang ini. Mengurus rangkaian pengagihan air memerlukan pemantauan berterusan oleh operator air kerana aset lama adalah penyebab peningkatan insiden kebocoran yang merupakan punca utama kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW).

Air Selangor kini menyelenggara dan mengurus sejumlah 29,270 km saluran paip agihan yang membekalkan air kepada lebih 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Justeru, demi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan serta memastikan kelestarian masa hadapan industri air, Air Selangor komited untuk melabur RM35.4 bilion untuk jangka masa 30 tahun sebagai sebahagian daripada perancangan perbelanjaan modal (CAPEX) berdasarkan perancangan dan inisiatif strategiknya.

Ini termasuk untuk membina loji rawatan air baharu, menaik taraf kemudahan bekalan air sedia ada, mengurangkan kebocoran/NRW, menggantikan paip usang dan melaksanakan program pemuliharaan air.

Ke Arah Masa Hadapan Lestari untuk Industri Air

Operator air perlu menerokai teknologi baharu dari Revolusi Perindustrian Keempat (4.0) bagi mencari penyelesaian cabaran pengurusan air yang sudah lama wujud di negara ini. Digitalisasi dapat membantu operator air untuk membangunkan bekalan air yang selamat, lestari dan berdaya tahan bersama dengan pengurusan aset yang berkesan.

Namun begitu, ini masih belum mencukupi untuk memastikan kelestarian masa hadapan industri air di Malaysia. Menurut SPAN, penggunaan air domestik di Selangor pada tahun 2018 adalah 233 liter purata per kapita, jauh lebih tinggi dari 165 liter yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Masyarakat harus memainkan peranan dalam memulihara air. Mengamalkan langkah-langkah menjimatkan air dan menggunakan air dengan lebih cekap dalam kehidupan seharian mendatangkan impak positif terhadap ketersediaan bekalan air mentah untuk jangka masa panjang.