Ops Tapis: 23 individu ditahan dalam tempoh lima hari

No Image Caption
A
A
A

MERSING - Seramai 23 suspek melibatkan kesalahan berkaitan dadah berjaya ditahan dalam tempoh lima hari Ops Tapis Bersepadu Polis Mersing dengan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Mersing (AADK).

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, tiga daripada tangkapan hasil operasi bermula 24 hingga 28 Januari itu turut melibatkan penahanan ke atas wanita.

Menurutnya, kesemua mereka berusia 17 hingga 65 tahun terlibat dengan pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"Dalam operasi itu jumlah dadah yang berjaya dirampas adalah 134.68 gram dadah jenis heroin, 1.86 adalah dadah jenis syabu dan 19.5 liter air ketum yang keseluruhannya dianggarkan berharga lebih kurang RM5000.

"Pihak polis percayai tangkapan yang dilakukan ke atas pengedar-pengedar dadah ini dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terutamanya di Kawasan Kampung Pengkalan Batu dan juga Kampung Sungai Muka Dua Mersing," katanya.

Katanya, operasi berkenaan akan diteruskan dari masa ke semasa di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti AADK.

Jelasnya, pihak polis juga memohon kerjasama daripada masyarakat sekitar khususnya di daerah Mersing untuk menyalurkan maklumat mengenai kegiatan dadah mahupun jenayah yang berlaku di daerah ini.

Artikel Berkaitan: