X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang tidak berhasrat ambil alih perkhidmatan feri

Kerajaan Pulau Pinang tidak merancang untuk menguruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang kini diuruskan Rapid Ferry Sdn Bhd (Rapid Ferry). Gambar kecil: Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak merancang untuk menguruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang kini diuruskan Rapid Ferry Sdn Bhd (Rapid Ferry).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini terdapat cadangan pengoperasian feri oleh Penang Port Sdn Bhd, namun ia belum diputuskan lagi.

"Setakat ini, kerajaan negeri tiada perancangan untuk menguruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang. Operasi perkhidmatan feri Pulau Pinang buat masa ini dilaksanakan oleh Rapid Ferry Sdn Bhd.

"Semasa perjumpaan bersama Kementerian Pengangkutan pada 27 Ogos lalu, kerajaan negeri dimaklumkan mengenai cadangan pengoperasian feri oleh pihak Penang Port Sdn Bhd. Bagaimanapun, cadangan itu masih belum dimuktamadkan oleh pihak kementerian," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tadi.

Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR- Bukit Tambun) mengenai hasrat kerajaan negeri untuk mengambil alih perkhidmatan Rapid Ferry.

Terdahulu, Exco Pengangkutan dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa melalui perbincangan antara kerajaan negeri dan Kementerian Pengangkutan pada 27 Ogos lalu, difahamkan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan memulakan proses pengambilalihan semula pengurusan perkhidmatan feri daripada Rapid Ferry.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memohon kementerian untuk mengemukakan pelan perancangan keseluruhan bagi kerja-kerja naik taraf serta pengoperasian feri-feri baharu kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Ia kerana feri merupakan perkhidmatan ikonik dan mod pengangkutan awam yang penting kepada seluruh rakyat negeri ini sejak tahun 1894.

Susulan daripada itu, Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri setelah model perniagaan perkhidmatan feri yang akan disediakan PPSB mendapat persetujuan kerajaan Persekutuan.

Perkhidmatan feri di Pulau Pinang diambil alih secara rasminya oleh anak syarikat Prasarana Berhad, Syarikat Rapid Ferry Sdn Bhd pada April 2018.

Sebelum ini, perkhidmatan feri dikendalikan Penang Port Sdn Bhd sejak operasi Pelabuhan Pulau Pinang dikorporatkan pada Januari 1994.

Ia selaras dengan keputusan kerajaan Pusat sebelum ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan salah satu ikon Pulau Pinang itu.

Pengambilalihan itu dibuat selaras untuk menyediakan perkhidmatan lebih cekap oleh pengangkutan awam itu yang sering mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!