MB syor jawatankuasa khas ECRL

Ahmad Samsuri (dua, kanan) hadir merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di MPK.
Ahmad Samsuri (dua, kanan) hadir merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di MPK.
A
A
A

KEMAMAN - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan satu jawatankuasa khas diwujudkan agar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan tanpa memberi beban kepada Kerajaan Pusat.

Ahmad Samsuri berkata, jawatankuasa itu perlu diwujudkan di peringkat Kerajaan Pusat bagi mencari jalan penyelesaian supaya ia tidak terhenti begitu sahaja dan berlaku pembaziran kepada prasarana yang telah siap dibina.

Menurutnya, Kerajaan Pusat dan kesemua kerajaan negeri terlibat dengan ECRL juga perlu duduk berbincang mengenai perkara itu.

“Kerajaan Terengganu sangat terbuka terlibat dalam apa-apa sahaja rundingan terutama dalam perkara yang beri kepentingan kepada kita.

“Mungkin sebagai satu opsyen, projek ini boleh dilaksanakan mengikut fasa. Kena tentukan fasa pertama di mana, fasa kedua di mana dan fasa ketiga di mana, bergantung kepada kekuatan kewangan serta cadangan dari pihak swasta atau mana-mana pihak asalkan tidak memberi beban kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Ke-62 di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Chukai, di sini, malam kelmarin.

Menurut Ahmad Samsuri, agensi yang ditugaskan untuk menyiapkan projek ECRL di peringkat Kerajaan Pusat tidak harus dibubarkan pada peringkat sekarang kerana mereka masih boleh berperanan untuk memikirkan bagaimana projek itu diteruskan dengan kos minimum.

“Saya berharap ada keputusan baharu dibuat seperti membuka tender secara terbuka kepada pihak luar. Paling tidak projek ini dapat bergerak seminimum mungkin tanpa berlaku pembaziran kepada apa yang telah siap dibina,” katanya.

Artikel Berkaitan: