Felda yakin kembali catat untung pada 2022

Felda yang dibelenggu kerugian besar berbilion-bilion dan pembubaran beberapa anak syarikatnya yakin dapat kembali mencatatkan keuntungan pada 2022 berlandaskan pelaksanaan model perniagaan baharu.
Felda yang dibelenggu kerugian besar berbilion-bilion dan pembubaran beberapa anak syarikatnya yakin dapat kembali mencatatkan keuntungan pada 2022 berlandaskan pelaksanaan model perniagaan baharu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dibelenggu kerugian besar berbilion-bilion dan pembubaran beberapa anak syarikatnya yakin dapat kembali mencatatkan keuntungan pada 2022 berlandaskan pelaksanaan model perniagaan baharu.

Pengerusi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, susulan pembentangan kertas putih mengenai Felda di Parlimen pada 10 April, 2019 pasukan petugas diketuai Tan Sri Abdul Wahid Omar dibentuk untuk mencari jalan memperkemaskan lagi kertas putih itu bagi tujuan menangani pelbagai isu yang melanda Felda.

“Kita telah mengenal pasti usaha untuk maju ke hadapan dengan memahami di mana kedudukan Felda pada masa ini dan masa lepas, malah telah menetapkan model perniagaan baharu dalam usaha menjadikan agensi ini lebih mampan, menguntungkan dan berdikari.

"Pasukan petugas juga telah mengesyorkan penstrukturan semula kewangan, bagaimana sistem pengurusan dapat ditingkatkan yang meliputi pendigitalan sistem kewangan, mengubah pemikiran peneroka, mendorong mereka meraih pendapatan tinggi dan juga langkah pengurangan kos,” katanya kepada Bernama.

Mengenai model perniagaan baharu, beliau berkata, Felda yakin model perniagaan yang tepat untuk agensi itu melangkah maju adalah dengan mempunyai rantaian bekalan lengkap dari ladang, kilang hingga ke peringkat hiliran.

“Sebelum FGV Holdings Bhd disenaraikan di Bursa Malaysia, kita sudah memiliki kilang sendiri, dengan Felda pada masa itu mencatatkan keuntungan lebih RM1 bilion dan pada 2011 ia mencatatkan keuntungan RM1.85 bilion.

“Bagaimanapun selepas penyenaraian FGV Holdings Bhd pada Jun 2012, keuntungan Felda jelas menyusut kerana pulangan daripada pelaburan FGV tidak sepadan dengan apa yang diharapkan daripada mereka," katanya.

FGV disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 28 Jun, 2012 pada harga RM4.45 sesaham, menjadikannya Tawaran Awam Awal (IPO) edua terbesar di dunia selepas Facebook, mengumpul kira-kira RM10.5 bilion.

Artikel Berkaitan:

Menurut kertas putih berkenaan, Felda merekodkan keuntungan bersih di antara RM200 juta dengan RM1.1 bilion setiap tahun bagi tempoh 2007 hingga 2011 berbanding kerugian bersih RM4.9 bilion yang dicatatkan oleh syarikat utama perladangan yang bermasalah itu pada 2017.

Mengikut Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) di antara Felda dengan FGV, Felda seharusnya menerima pembayaran sebanyak RM248 juta setahun dan perkongsian keuntungan 15 peratus untuk pajakan tanah komersialnya selama 99 tahun.

Idris berkata, bagi mencapai matlamat mengembalikan Felda kepada keuntungan, agensi itu mahu mengambil semula tanah milik Felda seluas 350,000 hektar yang dipajakkan kepada FGV menerusi LLA tersebut.

Katanya, hasrat itu telah dibincangkan dengan pihak kerajaan dan masih menunggu jawapan.

"Ketika LLA dibuat ada syarat yang menyatakan bahawa Felda boleh ambil semula tanah itu pada bila-bila masa dengan memberi mereka (FGV) tempoh 18 bulan selepas pemberian notis pengambilan semula tanah.

“Kita nak ambil balik tanah itu untuk perkasakan semula Felda. Pendapatan daripada keuntungan ladang Felda sebelum penyenaraian mencecah lebih RM1 bilion, tiada masalah untuk meraih angka bilion...ia boleh dibuat bagaimanapun pendapatan merosot sejak 2012 selepas penyenaraian FGV," katanya.

Mengenai pampasan yang harus dibayar kepada FGV berikutan penamatan LLA, beliau berkata, ia belum dibincangkan secara terperinci, namun yang jelas keutamaan Felda ketika ini adalah mengambil semula tanah yang dipajakkan itu dan mewujudkan rantaian bekalan yang lengkap.

Idris berkata, kekurangan pendapatan selepas penyenaraian FGV juga telah memaksa Felda untuk membuat pinjaman dengan institusi kewangan pada 2014.

"Hutang Felda ketika ini berjumlah RM10 bilion, dibuat untuk memberi wang pendahuluan kepada peneroka dan untuk program penanaman semula," katanya.

Beliau berkata, sebagai alternatif kepada penstrukturan semula hutang, Felda berhasrat untuk menerbitkan sukuk dan ini akan dibincangkan dengan kerajaan sebagai pihak penjamin selain itu nilai yang akan diterbitkan akan dimaklumkan kemudian.

"Model perniagaan baharu Felda turut menyentuh mengenai tempoh pinjaman tanaman semula oleh peneroka yang akan dikurangkan daripada lapan tahun kepada empat tahun," katanya.

Katanya, langkah ini telah dilaksanakan bagi mengurangkan tanggungan hutang peneroka serta menjadikan mereka lebih mampan dan berdaya saing.

“Kita telah mengenal pasti benih baharu yang boleh dituai dalam tempoh 35 bulan dan mampu mengeluarkan hasil sebanyak 25 tan sehektar serta meningkatkan kadar pengekstrakan minyak (atau kadar perahan minyak) sebanyak 23 peratus.

“Ini akan memendekkan tempoh pinjaman tanam semula serta bantuan sara hidup kepada peneroka,” katanya.

Idris berkata, Felda juga bercadang menggalakkan peneroka menceburi penanaman kontan di ladang mereka bagi mempelbagaikan hasil keluaran dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan peneroka.

Selain itu, beliau berkata, mengenai penstrukturan semula kewangan, Felda sedang berusaha untuk membubarkan aset bukan teras di dalam dan luar negara, terutama hotel, yang telah ditangguhkan kerana harga semasa yang rendah dan akan meneruskan tindakan itu setelah memastikan harga yang sesuai.

Mengenai 37 peratus saham Felda dalam PT Eagle High Plantations TPK (Eagle High) bernilai RM2.3 bilion, beliau berkata, Felda berhasrat untuk menggunakan opsyen jual mengikut harga yang dipersetujui pada Mei 2022 untuk mendapatkan kembali pelaburannya.

Felda juga akan mempertingkat keupayaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dengan menjadikan Walmart Inc dan Fonterra Co-operative Group Ltd sebagai penanda aras.

Walmart merupakan syarikat pengendali rangkaian pasar raya, kedai serbaneka diskaun dan kedai runcit yang berpangkalan di Amerika Syarikat manakala Fonterra pula ialah koperasi multinasional yang dimiliki kira-kira 10,500 peladang tenusu di New Zealand.

“KPF sebelum ini mampu membayar dividen serta memberi pendapatan yang tinggi kepada ahlinya serta pernah membayar dividen melebihi 15 peratus pada 2011.

“Kita mahu kembalikan keupayaan seperti ini untuk terus meningkatkan taraf sosioekonomi setiap ahlinya,” katanya. - Bernama