X

Kindly register in order to view this article
!

Azhar, Takiyuddin rakan universiti

Azhar dan Takiyuddin
A
A

SHAH ALAM - Antara nama yang disebut-sebut dalam krisis politik Malaysia sejak beberapa lalu ialah Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui bahawa kedua-dua tokoh itu ialah rakan sekelas ketika mereka belajar jurusan undang-undang di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) pada tahun 1982 sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada 1986.

Antara individu penting yang melanjutkan pengajian bersama dengan Azhar Azizan ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Takiyuddin.

Menurut seorang rakan mereka yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, mereka mendaftar di UM pada tahun 1982 hingga 1986 dalam jurusan undang-undang.

“Pada ketika itu, jumlah pelajar ialah sekitar 90 orang. Saya tidaklah begitu rapat dengan mereka berdua tetapi saling mengenali kerana kami dalam satu kumpulan,” katanya.

Bercerita tentang Takiyuddin, Nik Ahmad Kamal berkata, Setiausaha Agung Pas itu ketika di universiti merupakan penuntut yang aktif dengan persatuan pelajar.

“Seingat saya, beliau aktif dalam Persatuan Pelajar Islam UM, kolej dan juga peringkat universiti.

“Azhar Azizan pula saya kurang pasti sama ada beliau terlibat dengan persatuan pelajar universiti tetapi seingat saya, beliau terlibat dengan persatuan pelajar undang-undang di peringkat kolej,” katanya.

Menurutnya, biarpun telah menamatkan pengajian di UM kira-kira 34 tahun lalu tetapi hubungan antara mereka masih kekal dengan kewujudan kumpulan WhatsApp.

“Kami masih lagi satu kumpulan WhatsApp dan pernah mengadakan sekurang-kurangnya empat kali majlis pertemuan semula.

“Dalam grup tersebut, kami banyak berbincang mengenai isu-isu semasa dan sosial. Walaupun ada perbezaan fahaman tetapi ia bukan penghalang untuk kami mengekalkan hubungan erat,” katanya.

Sementara itu, Lian Ker pada 7 Julai lalu menulis di Facebooknya mengenai hubungan baik beliau dengan Takiyuddin di UM sebelum berkecimpung dalam politik.

“Kami sama-sama menuntut di Fakulti Undang-Undang UM. Kami mewakili UM dalam pasukan Debat Antara Universiti.

“Sememangnya YB Taki (Takiyuddin) seorang pemimpin yang matang dan berfikiran progresif.

“Kami telah berbincang tentang pelbagai isu dan mencapai kata sepakat dan persefahaman di pejabat beliau,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!