Ku Li kembali meriahkan politik Malaysia

Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh
A
A
A

GERAK politik Tengku Razaleigh Hamzah sejak beberapa hari lalu termasuk dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 14 Oktober menyebabkan suasana politik negara berkocak sehingga menimbulkan spekulasi berhubung keutuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Paling hangat diperkatakan ialah Tengku Razaleigh merupakan wakil rakyat yang paling lama berkhidmat secara terus-menerus di negara ini iaitu sejak tahun 1969 dengan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kelantan Barat. Kemudian beliau menjadi Ahli Parlimen Ulu Kelantan dan Gua Musang selama 12 penggal.

Terdapat spekulasi kononnya beliau sesuai diangkat sebagai Perdana Menteri Interim sekiranya sesuatu berlaku kepada politik negara. Bagaimanapun, Setiausaha politiknya, Mohd Lokman Ghani menjelaskan pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah pada petang 14 oktober lalu itu sekadar memberi pandangan berhubung situasi politik negara.

Spekulasi

Tidak kurang juga ada orang yang silap faham melemparkan komen-komen negatif yang mendakwa langkah Tengku Razaleigh atau dikenali Ku Li itu cuba menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyokong usaha Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Bagaimanapun, Khamis lalu, tular sepucuk surat oleh Tengku Razaleigh bertarikh 25 September 2020 menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibahaskan.

Dalam surat itu, Tengku Razaleigh juga menyentuh tentang penyogokan politik sambil mendakwa Perdana Menteri telah menawarkan jawatan Penasihat Petronas kepadanya namun ia ditolak kerana beliau prihatin terhadap Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hilangnya kelayakan menjadi ahli Parlimen sekiranya beliau memegang sesuatu jawatan berpendapatan.

Bagi yang mengenali siapa Tengku Razaleigh, mereka menganggap Ahli Parlimen Gua Musang sejak tahun 1974 (dahulunya dikenali sebagai Ulu Kelantan) kembali mempamerkan karektor dan keprihatinannya kepada negara setelah sekian lama menyepikan diri tanpa dapat dibaca gerak oleh lawan politiknya termasuk daripada kem-kem dalam UMNO sendiri.

Faktanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengatakan beliau tidak mengetahui Tengku Razaleigh akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan hakikatnya beliau mengirim surat kepada Speaker, juga atas namanya sendiri, tanpa memberitahu UMNO.

Artikel Berkaitan:

Tengku Razaleigh (dua dari kiri) bersama Dr Mahathir (kiri), Tun Hussein Onn (dua dari kanan) dan Tun Ghafar Baba (kanan) dalam satu program pada tahun 1970-an.
Tengku Razaleigh (dua dari kiri) bersama Dr Mahathir (kiri), Tun Hussein Onn (dua dari kanan) dan Tun Ghafar Baba (kanan) dalam satu program pada tahun 1970-an.

Tersebarnya gambar pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh bulan lalu juga menafikan beliau menyokong Anwar mahupun bergerak bersama UMNO untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi mengukuhkan lagi sifatnya sebagai negarawan yang boleh berbaik dengan musuh politik zaman mudanya.

“Kalau kita nak wujudkan kerajaan perpaduan, semua pihak kena setuju. Siapakah calon yang boleh diterima semua pihak untuk mengetuai kerajaan perpaduan bagi menggantikan kerajaan PN? Mestilah calon yang tiada kontroversi. Calon yang boleh diterima rakyat dan kaum. Berpengalaman dan ada integriti.

“Saya nampak seorang sahaja yang ada ciri-ciri itu iaitu Ku Li. Beliau memenuhi syarat untuk mengetuai kerajaan perpaduan sebab beliau seorang yang berpengalaman dan banyak jasa kepada negara, seorang tokoh yang berilmu serta pengalaman politiknya sejak ketika zaman Allayarham Tun Razak,” kata Presiden Parti Bumiputera Perkara Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali pada sidang medianya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ibrahim merupakan pemimpin UMNO yang menyertai Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1988 selepas pergolakan dalam UMNO.

Tengku Razaleigh yang merupakan putera raja dari Kelantan dan juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dilahirkan pada 13 April 1937.

Beliau mula mengabdikan diri bersama UMNO sejak tahun 1962 dan dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan.

Tengku Razaleigh memegang portfolio Menteri Kewangan bermula 5 Mac 1976 hingga Julai 1984 dan seterusnya Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Episod suram Tengku Razaleigh bermula selepas kekalahannya merebut jawatan Presiden UMNO menentang Dr Mahathir pada 24 April 1987 di mana beliau tewas 43 undi sekaligus menyaksikan peralihan kerjaya politiknya.

Kuku dan taring

Kekalahan itu menjadi pembuka jalan buat Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, mengambil semangat penubuhan UMNO pada tahun 1946, bersama-sama beberapa pemimpin lain antaranya Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bagaimanapun, beliau bersama Rais kembali semula bersama UMNO selepas Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996 dan sejak itu kuku dan taring Tengku Razaleigh disimpan kemas.Selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Tengku Razaleigh membuat kemunculan semula dengan bertanding jawatan Presiden UMNO namun beliau tewas di tangan Ahmad Zahid.

Kekalahan Tengku Razaleigh buat kali kedua merebut jawatan Presiden UMNO itu bagaimanapun bukan pengakhiran politiknya kerana pada hari ini persoalan sebenar mengapa beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong pada ketika Anwar dikatakan mempunyai sokongan majoriti masih belum terjawab sepenuhnya.

Apa yang pasti, langkah Tengku Razaleigh itu merupakan percaturan politiknya, atau juga mungkin takdir Allah, untuk beliau kembali menyumbang secara aktif kepada politik Malaysia. Beliau kini telah berusia 83 tahun, dan di Parlimen sekarang, hanya Dr Mahathir, 95, yang mewakili Parlimen Langkawi, menjadi seniornya di Dewan Rakyat.

Tengku Razaleigh Hamzah Umur: 83 tahun

Tarikh lahir: 13 April 1937

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Isteri: Allahyarham Cik Puan Sri Nur Yvonne Abdullah

Beliau merupakan anak kepada Menteri Besar Kelantan ke-11, Tengku Sri Maharaja Hamzah Tengku Raja Muda Tengku Long Zainal Abidin Pendidikan: 1959 - Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi Queen’s University of Belfast

POLITIK: Sejak 1986 - Ahli Parlimen Gua Musang

1971 - Ahli Majlis Tertinggi UMNO

1973 - Bendahari UMNO

1975 - Naib Presiden UMNO

1988 - Presiden Parti Melayu Semangat 46

1996 - Kembali sertai UMNO

2018 - Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO

KERAJAAN:1976 - Menteri Kewangan

1984 - Menteri Perdagangan dan Industri