X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja lembam terima Anugerah Hang Tuah

Nuraina Erieka menerima Anugerah Hang Tuah Majlis Penyampaian Anugerah Hang Tuah Sempena Perasmian Hari Kanak-Kanak 2020 di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor.
A
A

KUANTAN - Seorang remaja lembam menerima Anugerah Hang Tuah di atas usahanya yang mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan adiknya yang berusia setahun tiga bulan ketika rumah mereka terbakar dalam kejadian di Beserah, bulan lalu.

Bapanya, Wan Ahmad Faiz Wan Shamsudin, 38, berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka pengorbanan Nuraina Erieka Abdullah,13, menyebabkan remaja tersebut terpilih menerima anugerah berkenaan.

"Kami tidak pernah terfikir Nuraina Erieka akan diiktiraf begini. Dia bukan sahaja menerima Anugerah Hang Tuah, tetapi meraih Anugerah Srikandi Khas Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), kelmarin.

"Walaupun Nuraina Erieka dilahirkan sebagai anak istimewa tetapi dia membanggakan kami sekeluarga dan terus terang kami sekeluarga terharu dengan pencapaian yang diraih ini," katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Anugerah Hang Tuah Sempena Perasmian Hari Kanak-Kanak 2020 di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor, hari ini.

Dalam majlis itu, anak sulung daripada tujuh beradik tersebut menerima trofi, sijil dan wang tunai RM5,000 daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Anugerah Pingat Hang Tuah diperkenalkan pada 1960 dan diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian luar biasa mereka.

Pada 1 Oktober lalu, Sinar Harian menyiarkan laporan mengenai keberanian Nuraina Erieka yang berjaya membawa keluar adiknya yang terperangkap dalam bilik selepas rumah mereka ditingkat tiga flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah terbakar.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Faiz berkata, pengiktirafan itu pasti memberi semangat kepada Nuraina Erieka untuk terus menjadi insan kebanggaan dalam keluarga.

Bercerita lanjut mengenai kejadian kebakaran pada hujung September lalu, dia berkata, kebakaran yang berpunca daripada kebocoran paip dapur gas, api cepat merebak menyambar dinding dan siling dan ketika itu anak bongsunya sedang tidur di dalam bilik.

Katanya, kebakaran berkenaan menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menumpang inap desa seorang individu yang prihatin menumpangkan mereka sebelum mendapat rumah baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Gadai nyawa demi adik'


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!