Sabah benar lima jenis premis perniagaan lanjut operasi

Kedai menjual makanan di Sabah dibuka sehingga jam 8 malam bermula esok.
Kedai menjual makanan di Sabah dibuka sehingga jam 8 malam bermula esok.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tempoh masa beroperasi bagi lima jenis premis perniagaan di Sabah dilanjutkan sehingga jam 8 malam berkuat kuasa esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lanjutan tempoh masa itu membabitkan kedai makan, restoran, farmasi, kedai serbaneka dan stesen minyak.

"Tempoh masa beroperasi yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 14 Oktober 2020 adalah mulai jam 6 pagi hingga 6 petang.

"Tempoh operasi adalah dilanjutkan dua jam sehingga jam 8 malam berkua tkuasa 17 Oktober ini. Tempoh masa operasi yang baharu adalah mulai jam 6 pagi hingga 8 malam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Masidi bagaimanapun berkata, pelanjutan masa operasi itu tidak termasuk pasar mini, kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar.

Sementara itu, dalam perkembangan berhubung laporan jangkitan Covid-19, Sabah hari ini mencatatkan sebanyak 489 kes.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan bahawa bilangan kematian adalah lima orang dan seramai 3,815 pesakit sedang menerima rawatan di dalam wad.

"Jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini ialah sebanyak 6,286 kes dan sehingga hari ini, seramai 2,420 pesakit dilaporkan telah sembuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kota Kinabalu kekal mencatat jumlah tertinggi kes positif Covid-19 iaitu 114 kes, diikuti Sandakan (93), Tawau (77), Semporna (66) dan Lahad Datu (46).

Selain itu, Putatan mencatatkan 19 kes, Papar (17), Tuaran (10), Penampang dan Ranau masing-masing sembilan kes, Kinabatangan (5), Kudat dan Kunak masing-masing empat kes manakala Tambunan, Tenom dan Beaufort catat tiga kes, Pitas (2) dan Beluran Kota Marudu, Sipitang, Kota Belud serta Keningau masing-masing satu kes.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II turut berkata, sehingga hari ini sebanyak 35,672 bakul makanan diagihkan kepada golongan sasar.