Cuti perayaan: Bomba pantau kawasan kegiatan air

Nor Hisham (dua kiri) membuat penyerahan kunci kenderaan skylift kepada Balai Bomba Indera Mahkota.
Nor Hisham (dua kiri) membuat penyerahan kunci kenderaan skylift kepada Balai Bomba Indera Mahkota.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mewujudkan pasukan khas memantau secara berkala pantai, air terjun dan tasik yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menyedari trend orang ramai yang gemar melakukan aktiviti dan riadah air di kawasan kawasan tumpuan sempena cuti perayaan.

Menurutnya, oleh yang demikian penting bagi JBPM membuat persediaan dan pemantauan rapi untuk mencegah kejadian tak diingini.

"Aktiviti dan kegiatan air mungkin mendedahkan kepada risiko kejadian lemas dan bermula 1 sehingga 10 Februari, kita membentuk pasukan khas di setiap balai dan dua anggota akan membuat pemantauan berkala di kawasan kawasan yang dikenalpasti.

"Mereka akan menasihatkan pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti air sekiranya hujan atau wujud sebarang situasi yang mengancam keselamatan orang ramai," katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Bagi 2019 Peringkat JBPM Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Sani Harul.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, orang ramai diminta awasi fenomena kepala air yang boleh mengancam keselamatan ketika melakukan aktiviti air.

"Banyak kejadian lemas berlaku disebabkan fenomena kepala air, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan memantau perisian 'Accuweather' untuk melihat ramalan kaji cuaca.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tujuan berkenaan, kita akan meningkatkan kerjasama dengan polis, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) selain turut menasihati pengunjung untuk tidak mengunjungi kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air" katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata, pihaknya berjaya membantu mengurangkan jumlah kerugian akibat kejadian kebakaran pada tahun lalu menerusi kemudahan lebih baik dan terkini dan kewujudan balai bomba baharu.

"Pada 2018, kita berjaya menyelamatkan RM10.83 bagi setiap RM1 kerugian dicatatkan, ia meningkat kira-kira RM1.30 berbanding RM9.57 bagi setiap RM1 kerugian direkodkan akibat kejadian kebakaran.

"Ia satu perkembangan positif yang diharapkan dapat diteruskan pada tahun ini bagi mengelakkan kerugian lebih besar di kalangan orang ramai.," katanya.