Zidane tak sabar turun padang

Tengku Ahmad Tajuddin kini sedang menjalani latihan pemulihan secara berasingan.
Tengku Ahmad Tajuddin kini sedang menjalani latihan pemulihan secara berasingan.
A
A
A

PENYERANG skuad hoki kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil berharap dapat kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Pemain berusia 34 tahun yang mesra digelar Zidane itu berkata, dia tidak mahu ketinggalan dalam usaha menambat hati barisan jurulatih diketuai Arul Selvaraj untuk disenaraikan dalam 25 pemain mewakili The Speedy Tigers.

Zidane yang sedang menjalani latihan pemulihan secara berasingan, sebolehnya mahu segera pulih bagi menyertai rakan sepasukan dalam perlawanan pemanas badan juga medan pemilihan berlangsung sejak 5 Oktober lepas.

“Saya masih dalam proses pemulihan, tapi sudah bertambah baik untuk kembali ke padang sepenuhnya dalam masa terdekat. Saya hanya menunggu masa untuk dilepaskan oleh pihak Institut Sukan Negara (ISN) untuk memulakan latihan penuh.

“Buat masa ini saya di bawah pemantauan ahli fisioterapi dan menjalani rawatan di ISN. Walaupun berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), latihan pasukan mesti diteruskan mengikut program latihan yang disediakan jurulatih,” katanya kepada Bernama.

Arul sebelum ini menyenaraikan 38 pemain bagi menyertai kem latihan pemilihan pasukan hoki lelaki kebangsaan dengan beberapa nama besar seperti pasangan adik-beradik Faizal dan Fitri Saari disenaraikan semula.

Skuad hoki negara kini menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan pada 2021, antaranya saingan Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh dari 11 hingga 19 Mac. - Bernama

Artikel Berkaitan: