X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB: Muat turun borang permit pergerakan di Facebook PDRM

Borang permohonan permit pergerakan yang lengkap diisi perlu diserahkan kepada balai polis berdekatan bagi mendapatkan tanda tangan ketua balai dan dicap bagi kegunaan sewaktu melalui sekatan jalan raya.
A
A

KUALA LUMPUR - Borang permohonan permit pergerakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh diperoleh daripada balai polis atau dimuat turun melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, borang yang lengkap diisi perlu diserahkan kepada balai polis berdekatan bagi mendapatkan tanda tangan ketua balai dan dicap bagi kegunaan sewaktu melalui sekatan jalan raya.

“Sebagai contoh dari Johor nak ke Kedah, perlu rentas melalui Selangor, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran daripada PDRM.

“PDRM memudahkan urusan. Orang ramai boleh muat turun borang di Facebook PDRM, dicetak dan setelah selesai diisi hanya perlu ke balai polis berdekatan untuk dapatkan tanda tangan ketua balai,” katanya dalam sidang media secara maya di Facebook Kementerian Pertahanan.

Menurutnya, langkah memuat turun borang itu juga bagi mengelakkan orang ramai daripada bersesak di balai polis bagi mendapatkan kebenaran rentas perjalanan.

Bagi aspek keselamatan dan mengekang penularan koronavirus (Covid-19), beliau turut menggalakkan majikan dan ketua jabatan membenarkan pekerja di zon merah untuk bekerja dari rumah.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, PDRM menahan 390 individu atas kesalahan ingkar PKPP dan daripada jumlah itu 386 dikompaun manakala empat lagi direman.

"Seramai 23 pendatang tanpa izin dan tiga penyeludup pula ditahan, selain lima bot dan lima kenderaan darat turut dirampas dalam Operasi Benteng semalam.

"Seramai 48,461 individu pulang ke tanah air dari 24 Julai hingga semalam dan daripada jumlah berkenaan, 9,477 orang sedang menjalani kuarantin wajib dan 381 lagi dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 38,603 individu sudah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Katanya, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara dan turut menggesa pengusaha dan orang ramai supaya mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!