ADUN beri penjelasan berhubung isu Kluster Utama

Jamaliah Jamaluddin
Jamaliah Jamaluddin
A
A
A

PETALING JAYA - Kluster Utama yang merekodkan 105 kes setakat ini bukan merujuk kepada pekerja atau individu yang berada dalam pusat membeli-belah One Utama di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin sebaliknya menjelaskan ia adalah rantaian daripada individu daripada Kluster Utama yang dijangkiti Covid-19.

"Sebagai contoh, apabila melakukan proses pengesanan kontak, sekiranya salah seorang pekerja di One Utama telah dijangkiti Covid-19, kontak mereka yang bukan pekerja di situ akan termasuk dalam Kluster Utama jika dijangkiti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jamaliah berkata demikian berikutan menerima pelbagai pertanyaan daripada penduduk yang keliru berhubung Kluster Utama tersebut yang disangka keseluruhannya adalah pekerja dan individu di pusat membeli-belah itu sehingga mengundang kebimbangan ramai.

Berikutan itu, Jamaliah berkata, beliau mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.

"Oleh itu, sesiapa yang mempunyai kekeliruan, saya nasihatkan untuk mengikut perkembangan dan bolehlah menghubungi talian yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mereka mempunyai piawaian yang sama di seluruh negara," katanya.

Beliau turut berharap agar KKM, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau mana-mana pihak berkaitan supaya menyelaraskan kenyataan bersama sebelum menghebahkan kepada umum.

"Ini untuk mengelakkan kekeliruan dan ketakutan orang awam pada masa yang akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pengurusan One Utama menafikan dakwaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Petaling semalam yang melaporkan terdapat 63 kes positif Covid-19 dikesan di premis terbabit.