'Basikal lajak disita polis'

Polis mengambil tindakan ke atas penunggang basikal lajak di Klang Sabtu lalu. (Gambar kecil) Jit Huey. Foto: IPD KLANG SELATAN
Polis mengambil tindakan ke atas penunggang basikal lajak di Klang Sabtu lalu. (Gambar kecil) Jit Huey. Foto: IPD KLANG SELATAN
A
A
A

KLANG – Polis mengesan aktiviti kanak-kanak menunggang basikal lajak di sekitar Kompleks Sukan Pandamaran di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, tindakan diambil Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan terhadap dua kanak-kanak berusia sembilan tahun.

"Dua basikal lajak telah disita untuk tindakan lanjut.

"Kanak-kanak terbabit turut diberikan nasihat sebelum dihantar pulang ke rumah masing-masing," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan anggota peronda mendapati kanak-kanak tersebut didapati menunggang basikal di jalan raya utama tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Jelasnya, keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak tersebut serta risiko berlakunya kemalangan jalan raya yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Sebagai tindakan susulan, polis akan memanggil ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu bagi membincangkan aspek keselamatan serta menekankan kepentingan pengawasan terhadap anak-anak, khususnya ketika berada di luar rumah," ujarnya.

Kata beliau, IPD Klang Selatan menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

"Ibu bapa juga diseru supaya tidak membiarkan anak-anak terlibat dalam aktiviti berbasikal yang berisiko, khususnya di jalan raya utama, sehingga boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!