Pemuda Pas Selangor bimbang pembudayaan hedonisme di UiTM

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor melihat dengan penuh kebimbangan penganjuran acara Malam Seribu Bintang di Kolej Melati, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam baru-baru ini.
Penganjuran majlis yang berteraskan hiburan berlebihan di dalam menara gading adalah satu perkembangan yang amat mendukacitakan dan mencalarkan imej universiti sebagai pusat kecemerlangan akademik bumiputera.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor, Dr.Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pada saat anak muda kita hari ini sedang bergelut dengan pelbagai ancaman krisis identiti dan kerosakan gejala sosial yang semakin membarah di luar sana, institusi pengajian tinggi sepatutnya memainkan peranan untuk memandu dan menyelamatkan mereka.
Sebaliknya, kata beliau, acara sebegini seolah-olah menghalalkan dan memupuk nilai hedonistik ke dalam jiwa mahasiswa.
"Anak-anak muda yang sedang mencari haluan hidup perlukan bimbingan intelektual dan rohani, bukan disajikan dengan hiburan yang melekakan jiwa dan minda," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pendirian Pas sejak dahulu adalah jelas bahawa parti itu tidak menolak hiburan kerana ia sebahagian daripada fitrah manusia.
"Namun, selain budaya terjerit-jerit bersorak seperti yang dipapar di media sosial di dalam program berkenaan, penganjur turut membawa masuk pula kumpulan artis M-Pop seperti 'XO Jr.' ke dalam program ini, ia bukanlah satu perkara yang membawa nilai yang baik," katanya.
Aubidullah Fahim berkata, kumpulan tersebut membawa imej, nilai, dan acuan budaya K-Pop untuk disuapkan kepada mahasiswa tempatan kita.
Sehubungan itu katanya lagi, semua pihak perlu membuka mata dan melihat realiti sebenar industri K-Pop yang cuba diadaptasi kumpulan tersebut.
"Ia adalah sebuah industri yang sarat dengan pelbagai krisis negatif bermula daripada masalah kesihatan mental yang kritikal, tekanan melampau, kemurungan, hingga membawa kepada keruntuhan akhlak masyarakat akibat budaya pemujaan (idolisation) yang bertuhankan hiburan semata-mata," katanya.
Tegas beliau, apakah acuan masyarakat rapuh sebegini yang mahu kita bina dan terapkan ke dalam jiwa generasi pewaris negara?
"Justeru kami mendesak pihak pentadbiran UiTM agar mengambil tindakan tegas, menyemak semula garis panduan kelulusan program pelajar, dan mencegah penganjuran acara berunsur hiburan melampau ini daripada berulang lagi," katanya.
Mengulas lanjut beliau menegaskan, pihak universiti wajib kembali kepada fungsi hakikinya, iaitu menyuburkan 'budaya ilmu', memperbanyak wacana akademik, serta mengasah ketajaman intelektual anak-anak muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara kelak.
Tambahnya lagi, kepada seluruh pemegang taruh pendidikan negara, jika kelalaian hiburan terus diangkat dan menjadi tumpuan di dalam dewan-dewan universiti negara ini apakah kita sudah bersedia untuk melihat masa depan negara ini bergelap dan runtuh akibat daripada tangan kita sendiri?
"Sedangkan masa depan Malaysia bergantung teguh kepada kualiti akal budi mahasiswa yang kita lahirkan pada hari ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
