PKPB: 63 ditahan, 118 kompaun dikeluarkan di Selangor

Noor Azam (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya yang baharu di IPD Ampang hari ini.
Noor Azam (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya yang baharu di IPD Ampang hari ini.
A
A
A

AMPANG - Seramai 63 individu ditahan dan 118 kompaun dikeluarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Selangor bermula semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka, berkumpul serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Setakat ini, sebanyak 53 sekatan jalan raya dilaksanakan di sekitar daerah di Selangor bagi mengelakkan penduduk di negeri ini keluar dari daerah sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan.

"Jika ada urusan, kita benarkan dan pastikan mempunyai surat daripada majikan," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini.

Dalam majlis itu, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ampang Jaya yang baharu menggantikan Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff.

Noor Azam berkata, sekiranya individu yang didapati cuba keluar tanpa sebarang kebenaran, mereka akan diminta berpatah balik.

Katanya, pihaknya percaya masyarakat sudah memahami situasi PKPB ini berikutan penguatkuasaan PKP telah lama dilaksanakan sejak Mac lalu.

Berkenaan aduan kesesakan semasa sekatan jalan raya, Noor Azam berkata, masalah kesesakan tidak dapat dielakkan apatah lagi di kawasan bandar besar.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita harap masyarakat sabar, usah potong barisan sebab kita perlu bersama-sama memerangi wabak Covid-19. Kita tak mahu wabak ini sukar dikawal dan merebak dengan serius lagi," katanya.