X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster Penjara Jawi: Enam banduan positif dari blok sama

Sembilan kes banduan disahkan positif di Penjara Seberang Perai, Jawi sejak semalam.
A
A

GEORGETOWN - Enam banduan di Penjara Seberang Perai yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) semalam adalah dari blok yang sama dengan tiga banduan yang positif sebelum ini.

Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, enam banduan berkenaan baharu dimasukkan ke penjara yang terletak di Jawi, Nibong Tebal itu untuk menjalani hukuman sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua banduan lelaki yang berusia lingkungan 34 hingga 56 tahun itu dilaporkan berada keadaan stabil dan sedang dirawat.

"Enam banduan yang disahkan positif semalam adalah mereka yang berada di blok sama dengan tiga banduan yang disahkan positif sebelum ini. Mereka kini stabil namun sedang dipantau oleh pihak hospital.

"Mereka ini memang masuk awal sedikit dari tiga banduan yang dijangkiti sebelum ini, tapi kita pun tidak tahu daripada mana mereka dijangkiti virus berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Roslan berkata, setakat ini seramai 240 banduan telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan pihaknya masih menunggu keputusan ujian tersebut.

"Pihak kita telah mengambil tindakan segera mengasingkan mereka dengan banduan lain kerana mereka ini ditempatkan di dalam blok sistem dormitri yang boleh memuatkan 20 hingga 30 banduan dalam satu satu masa.

"Setakat ini, keadaan di dalam penjara masih terkawal kerana semua banduan yang dijangkiti Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di blok berasingan dengan banduan lain," katanya.

Beliau berkata, selain banduan, semua petugas penjara turut menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusan menunjukkan kesemuanya negatif.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat enam kes baharu membabitkan kluster Penjara Jawi menjadikan keseluruhan sebanyak sembilan kes.

Kluster Penjara Jawi dikesan selepas tiga banduan di situ dikesan positif Covid-19 pada Selasa lalu.

Terdahulu, lebih 2,000 banduan Penjara Seberang Perai akan menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat susulan tiga banduan di penjara itu disahkan positif.

Sementara itu, mengulas berhubung Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang, Roslan berkata, pihaknya bersiap sedia dan akan memastikan semua kakitangannya mematuhi arahan yang ditetapkan.

"PKPD hanya melibatkan kawasan di dalam penjara dan kuarters kakitangan sahaja. Oleh demikian, semua kawasan itu berada dalam keadaan terkawal.

"Bagi petugas penjara yang tidak tinggal di kuarters, mereka juga tidak dibenarkan pulang ke rumah dan akan tinggal sementara di kuarters sementara yang disediakan Jabatan Penjara Malaysia," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!