Bekas setpol Mat Sabu didakwa rasuah RM 6.35 juta

Tertuduh (bergari) dibawa keluar dari mahkamah selepas prosiding pertuduhan terhadapnya hari ini.
Tertuduh (bergari) dibawa keluar dari mahkamah selepas prosiding pertuduhan terhadapnya hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Politik mantan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen menerima dan meminta rasuah bagi membolehkan sebuah syarikat memperolehi satu projek secara rundingan terus bernilai RM6.35 juta tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, membuat pengakuan itu dan minta bicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Azhar didakwa meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih sebagai menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaran Bagi Peralatan Perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan Malaysia.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Hotel Le Apple Boutique, Jalan Ampang, Kampung Baru, pada 22 Julai 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, Mohd Azhar didakwa menerima RM1.35 juta daripada Elias melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Pertahanan di Jalan Bellamy dan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara September 2019 dan Februari 2020 dan didakwa mengikut seksyen sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat, menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambah perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang berhubung atau mengganggu dengan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguambela, Ariff Azami Hussien mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan ekoran anak guamnya tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya juga menanggung tujuh anak yang antaranya masih bersekolah dan ibu mertua yang sudah uzur.

"Tertuduh juga tidak mempunyai risiko melarikan diri dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan, tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin selain perlu melaporkan diri bermula November ini di pejabat SPRM pada setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut memerintah tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.

Hakim Azura, membenarkan tertuduh membayar separuh jumlah jaminan hari ini, manakala selebihnya dibayar pada minggu hadapan.