Perlukah Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan?

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN
A
A
A

APABILA Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) pada 1 Mac 2020 sebagai Perdana Menteri, Baginda menjalankan tugasnya berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seperti berikut:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;”

2. Fakta menunjukkan dari 1 Mac 2020 sehingga hari ini 14 Oktober 2020, TSMY tidak pernah melepasi ujian kepercayaan di Dewan Rakyat untuk mengesah dan membuktikan secara rasmi beliau mempunyai majoriti ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya.

3. Fakta juga menunjukkan Usul Undi Tidak Percaya yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir, Ahli Parlimen Langkawi dan diterima oleh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sampai ke hari ini tidak dibentangkan untuk dibahas dan diundi di Parlimen. TSMY kelihatan cuba berdalih-dalih dan lari-lari dari menghadapi usul tersebut.

4. Selama 8 bulan dari 1 Mac 2020 sehingga Sidang Parlimen akan datang pada 2 November 2020, TSMY kelihatan seperti tidak berani membawa Usul Percaya terhadapnya selaku Perdana Menteri di Dewan Rakyat.Sehingga ke hari ini tidak ada usul kepercayaan sedemikian telah dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat.

5. Justeru itu dalam keadaan ketidakpastian sama ada TSMY mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau tidak, maka pada 13 Oktober 2020, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dan mempersembahkan dokumen-dokumen sahih yang membuktikan beliau mendapat sokongan melebihi 120 orang ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya bagi jawatan Perdana Menteri. Pernyataan atau representasi DSAI kepada Yang di-Pertuan Agong itu bermakna beliau mendakwa TSMY telah hilang sokongan.

6. Persoalan undang-undang sekarang ini, ialah Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong perlu merujuk semula Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan di atas. Persoalan undang-undang ialah, apakah pada hari ini, selepas DSAI mengadap Yang di-Pertuan Agong, maka adakah Yang di-Pertuan Agong masih berpegang pada hematnya mungkin TSMY masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang dipercayai Baginda pada 1 Mac 2020 lalu?

7. Jika Yang di-Pertuan Agong masih percaya, maka selamatlah kedudukan TSMY sebagai Perdana Menteri buat sementara.

Artikel Berkaitan:

8. Sebaliknya jika Yang di-Pertuan Agong sudah hilang kepercayaan tersebut maka TSMY perlulah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri untuk mengelakkan rakyat dan negara ini daripada terheret di dalam satu krisis perlembagaan.* Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang