Pas akan pertahan PN, kukuhkan MN

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Pas dilihat mengambil pendekatan bertenang ketika UMNO mahu meletakkan syarat baharu terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, Pas tetap akan mempertahankan kerjasama politik itu.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, pendirian Pas tetap sama walaupun UMNO membuat pendirian baharu terhadap hubungan dengan PN, malah akan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Kita akan mengadakan perbincangan berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini UMNO yang membuat pendirian dan cadangan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin pula berpandangan, UMNO mungkin ada syarat-syarat baharu yang mahu diutarakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairil Nizam Khirudin
Khairil Nizam Khirudin

"Ia perkara yang boleh dibincangkan dan Pemuda Pas terbuka mengenai perkara itu kerana setiap parti ada hak masing-masing. Biarlah UMNO berbincang dengan baik dengan Perdana Menteri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairil Nizam berkata, Pas dan UMNO akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dalam mesyuarat MN akan datang, bagaimanapun tarikhnya bergantung kepada perkembangan koronavirus (Covid-19).