Tindakan Anwar gugat kestabilan politik

Ismail (kiri) dan dua kepimpinan Armada Johor yang membuat laporan terhadap Anwar di IPD Johor Bahru Selatan Johor Bahru hari ini.
Ismail (kiri) dan dua kepimpinan Armada Johor yang membuat laporan terhadap Anwar di IPD Johor Bahru Selatan Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor menyelar tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mempedulikan perkembangan terkini kes koronavirus (Covid-19) sebaliknya mengutamakan agenda peribadinya.

Ketua Penerangan Armada Johor, Ismail Abdul Nasir berkata, sewajarnya Anwar itu mengambil kira keadaan semasa sebelum bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

"Sepatutnya Anwar beri perhatian kepada isu dalam negara ketika ini dan bukan mengganggu gugat kestabilan politik," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Terdahulu beliau dan barisan kepimpinan Armada Johor membuat laporan polis berhubung tindakan Anwar yang tidak menyenaraikan nama ahli Parlimen didakwa menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Ketua Pembangkang itu menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selama kira-kira 25 minit bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen dengan 120 SD yang menyokongnya sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara menafikan Yang di-Pertuan Agong menerima senarai tersebut sebaliknya Anwar hanya mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

Ismail berkata, sekiranya Anwar mempunyai jumlah ahli Parlimen yang cukup sekali pun, sewajarnya menunggu sehingga keadaan Covid-19 reda dan bukan pada ketika ini semasa rakyat sedang susah akibat pandemik itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan Anwar yang tidak mengemukakan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai satu pembohongan kepada Yang di-Pertuan Agong malah boleh menggugat kestabilan politik negara.