Koeman tabik komitmen tinggi Messi

Koeman (kanan) berpuas hati dengan komitmen Messi pada saingan La Liga musim ini.
Koeman (kanan) berpuas hati dengan komitmen Messi pada saingan La Liga musim ini.
A
A
A

PENGENDALI Barcelona, Ronald Koeman memuji sikap profesional Lionel Messi walaupun kapten Argentina itu dipalit kontroversi selepas hasratnya meninggalkan Camp Nou tidak menjadi kenyataan.

Menurut Koeman, Messi masih mampu memberikan sepenuh tumpuan dan komitmennya kepada kelab gergasi Sepanyol itu biarpun gagal membawa haluan baharu pada awal musim ini.

“Dalam tempoh beberapa bulan saya tiba di Barcelona, apa yang boleh saya katakan bahawa perkhabaran Messi mahu meninggalkan Camp Nou tidak langsung mempengaruhi persembahannya, baik di dalam mahupun luar padang.

“Messi telah melakukan semua yang saya harapkan daripada seorang pemain dan juga kapten Barcelona. Saya cukup gembira kerana dia tidak terbuai-buai dengan kontroversi yang berlaku pada awal musim.

“Saya akui pada mulanya, Messi tidak berpuas hati tetapi situasi itu hanya sementara. Sebaik kontroversi itu berakhir, Messi terus konsisten mempamerkan karakter sebenarnya dan fokus terhadap hala tuju kelab ini,” katanya.

Terdahulu, bintang Argentina berusia 33 tahun itu memberitahu presiden Barcelona, Josep Bartomeu bahawa dia ingin meninggalkan Camp Nou mengikut klausa pelepasan yang dipersetujui dalam kontraknya.

Bagaimanapun, kelab Catalan tersebut menyekat pemergian Messi dengan mendakwa klausa berkenaan tidak sah, sekali gus menyebabkan dia memilih untuk kekal sehingga kontraknya berakhir pada Jun tahun depan.

Pada saingan musim ini, Messi telah melengkapkan 90 minit dalam ketiga-tiga aksi domestik termasuk menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti ketika Barcelona membelasah Villarreal 4-0 di Camp Nou hujung bulan lalu.

Artikel Berkaitan: