Barcelona ucap selamat maju jaya buat Messi

Lionel Messi - Foto AFP
Lionel Messi - Foto AFP
A
A
A

BARCELONA menghormati keputusan bekas bintang Blaugrana, Lionel Messi selepas kapten Argentina itu menyatakan hasratnya menyertai Liga Bolasepak Utama Amerika Syarikat (MLS) Inter Miami, walaupun menerima cadangan untuk kembali gergasi La Liga tersebut.

Barcelona dalam satu kenyataan memaklumkan bapa dan ejen Messi memberitahu kepada kelab itu pada Isnin mengenai keputusannya untuk berpindah ke Amerika Syarikat dan bukannya kembali ke Sepanyol.

“Presiden Barcelona (Joan) Laporta memahami dan menghormati keputusan Messi yang mahu bersaing dalam liga dengan permintaan yang lebih sedikit, jauh daripada tumpuan dan tekanan yang dia hadapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata kelab LaLiga itu.

Kelab itu menambah bahawa Laporta dan Jorge Messi, bapa Messi, bersetuju untuk bekerjasama mempromosikan penghormatan sewajarnya daripada para penyokong kelab Catalan tersebut sebagai menghormati pemain berusia 35 tahun itu.

Messi dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi serta kembali ke Barcelona selepas beraksi pada perlawanan terakhirnya untuk gergasi Ligue 1, Paris St Germain (PSG) pada hujung minggu.

Bagaimanapun, juara Sepanyol itu terikat kerana peraturan Financial Fair Play LaLiga.

“Jika Barcelona tidak berjaya, saya mahu meninggalkan Eropah, keluar dari perhatian dan lebih memikirkan tentang keluarga saya...

"Saya tidak mahu menyerahkan masa depan di tangan orang lain. Saya tidak sabar untuk kembali, tetapi akhirnya ia tidak berlaku,” kata Messi pada Rabu.