Messi mahu kembali ke Barcelona

Messi hadir bersama anak-anaknya sebelum perlawanan Ligue 1, PSG menentang Clermont Foot 63 di Stadium Parc des Princes, Paris pada 3 Jun lalu. - Foto AFP
Messi hadir bersama anak-anaknya sebelum perlawanan Ligue 1, PSG menentang Clermont Foot 63 di Stadium Parc des Princes, Paris pada 3 Jun lalu. - Foto AFP
A
A
A

LIONEL Messi yang bermain perlawanan terakhirnya untuk gergasi Ligue 1 Paris St Germain (PSG) baru-baru ini, terbuka kembali ke kelab LaLiga Barcelona, kata bapa penyerang Argentina itu pada Isnin.

Barca terpaksa melepaskan Messi pada 2021 kerana gajinya yang tinggi ditambah dengan peraturan kewangan LaLiga yang ketat menjejaskan masa depan kelab.

Messi, yang menyertai skuad remaja Barcelona berusia 13 tahun kemudian menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab dan pencipta penampilan dengan 672 gol dalam 778 perlawanan dalam semua pertandingan, berpindah ke PSG sebagai ejen bebas dengan kontrak dua tahun.

Kewangan Barcelona sedikit bertambah baik sejak itu, namun menurut LaLiga, mereka masih melebihi had dan kekal tidak dapat mendaftarkan kontrak baharu yang ditandatangani beberapa bulan lalu termasuk pemain pertahanan Ronald Araujo dan pemain tengah Gavi.

Sebelum ini, presiden juara LaLiga itu, Joan Laporta sering menyuara keinginannya untuk membawa Messi kembali ke Camp Nou.

Namun sebarang perpindahan untuk pemain berusia 35 tahun itu berkemungkinan akan merumitkan lagi keupayaan mereka untuk mematuhi peraturan Financial Fair Play (FFP).

“Leo mahu kembali ke Barca dan saya juga ingin dia kembali. Kami yakin Leo boleh kembali,” kata bapa Messi, Jorge.

Messi yang membawa Argentina merangkul kejuaraan Piala Dunia 2022 di Qatar dan juga mempunyai rekod tujuh anugerah Ballon d'Or, memenangi gelaran Ligue 1 pada musim 2021/22 dan 2022/23 bersama PSG serta Piala Super Perancis pada Julai 2022.

Bagaimanapun, pemain paling berpengaruh dalam skuad Argentina tersebut memilih untuk tidak memperbaharui perjanjiannya dengan juara Ligue 1 itu.

Masa depannya telah menjadi subjek banyak spekulasi baru-baru ini, dengan sumber yang rapat dengan kapten Argentina memberitahu bahawa dia telah menerima tawaran rasmi untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal musim depan.

Perpindahan ke Arab Saudi akan menyaksikan dia sekali lagi bermain dalam liga yang sama dengan pesaing dan bintang Al Nassr, Cristiano Ronaldo, manakala penyerang Real Madrid, Karim Benzema juga dijangka melengkapkan perpindahan ke negara Timur Tengah itu.

Kelab Bola Sepak Liga Utama Amerika Syarikat, Inter Miami juga disebut-sebut sebagai destinasi yang mungkin untuk Messi.