X

Kindly register in order to view this article
!

Makna tangisan dan permohonan maaf Kim Jong-un

Kim Jong-un bertepuk tangan ketika menyaksikan perarakan tentera di Pyongyang pada 10 Oktober lalu. - Foto AFP
A
A

KERAP dilihat melemparkan senyuman pada majlis pelancaran peluru berpandu atau memberikan arahan dalam mesyuarat-mesyuarat rasmi, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah menawarkan pelbagai imej yang berbeza iaitu emosi dan apologetik.

Pada perarakan tentera yang mana peluru berpandu antara benua yang terbaharu dan terbesar dipamerkan pada hujung minggu lalu, suara Jong-un kedengaran bergetar ketika beliau bercakap tentang 'penghargaan terhutang budinya' sambil menangis berhubung usaha rakyat di negaranya.

Beliau berulang kali mengucapkan terima kasih kepada warga dan pihak tentera berhubung kesetiaan mereka dan masih kekal sihat ketika berdepan dengan koronavirus (Covid-19) yang pernah ditegaskannya bahawa tidak ada satu kes virus itu berlaku di negaranya.

Namun, ia datang dengan harga yang tinggi.

Jong-un telah menutup sempadan negaranya yang miskin itu pada Januari lalu bagi menghentikan penularan virus tersebut.

Langkah itu seperti yang diperkatakan oleh beberapa penganalisis telah menambahkan lagi kesan sekatan masyarakat antarabangsa yang dilaksanakan berikutan program senjata Korea Utara.

Dalam pada itu, imejnya tidak kelihatan di kamera selepas Jong-un memuji para sukarelawan yang membantu bagi usaha-usaha memulihkan bencana itu.

Namun, kamera itu kembali menunjukkan beliau meletakkan sehelai sapu tangan di atas podium dan memakai semula cermin mata selepas Jong-un mengelap air matanya.

Pada satu ketika, beliau meminta maaf kerana gagal memenuhi jangkaan ramai: "Rakyat kita telah meletakkan amanah setinggi langit dan sedalam laut ke atas saya tetapi saya gagal untuk menyempurnakan," katanya.

"Saya benar-benar menyesal untuk itu," katanya berdasarkan transkrip yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi KCNA.

Ia merupakan pemohonan maaf kedua dalam tempoh beberapa minggu.

Menurut Rumah Biru iaitu Pejabat Presiden Korea Selatan, parti pemerintah Korea Utara memberitahu pada September lalu bahawa Jong-un berasa 'amat kesal' berhubung pembunuhan seorang warga Korea Selatan di perairan Pyongyang.

Dalam pada itu, pada perarakan tentera itu, beliau berikrar kepada rakyatnya untuk memberikan perkhidmatan dengan lebih baik.

"Saya sesungguhnya bersumpah sekali lagi di tempat ini bahawa saya akan menyempurnakan amanah rakyat tanpa gagal walaupun badan saya ini hancur dan menjadi serpihan-serpihan," katanya.

Sebuah peluru berpandu balistik dipamerkan dalam perarakan ketenteraan Korea Utara di Pyongyang pada 10 Oktober lalu. - Foto AFP
Sebuah peluru berpandu balistik dipamerkan dalam perarakan ketenteraan Korea Utara di Pyongyang pada 10 Oktober lalu. - Foto AFP

Dalam beberapa cara, sentimen itu tersimpan bersama kepercayaan ortodoks Korea Utara bahawa Pyongyang secara konsisten menggambarkan keluarga Jong-un yang telah mengetuai negara lebih 70 tahun sebagai seorang wira yang mengorbankan diri sendiri dan memberikan jiwa raga mereka kepada perkhidmatan untuk rakyatnya.

Bagaimanapun, pengakuan peribadi kerana melakukan kesilapan itu adalah berbeza dengan datuknya, Kum Il-sung iaitu pengasas Korea Utara.

Di bawah pemerintahan Il-sung, yang mewariskan kuasa kepada bapanya, Kim Jong-il dan meninggal dunia pada tahun 2011, para pemerhati berkata, Korea Utara telah mengambil beberapa langkah kecil dengan menjauhkan diri daripada personaliti pemerintah terdahulu.

Bagaimanapun, gambaran ketika ini terhadap pemimpin negara itu adalah sesuatu yang jarang berlaku.

Bekas penganalisis kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenai Korea Utara, Rachel Lee menggambarkan perarakan tentera pada hujung minggu lalu itu sebagai satu 'pelepasan daripada norma'.

Ucapan Jong-un adalah mengenai orang ramai dan disesuaikan secara berhati-hati untuk berdepan dengan ketulenan dan kemesraan, katanya kepada AFP.

"Ini merupakan contoh terbaharu Korea Utara mengubah strategi propaganda mengenai pembawakan mesej mereka dalam bentuk yang lebih menghiburkan dan mesra," ujarnya.

Para penganalisis berbeza pandangan mengenai kejujuran pengisytiharan Jung-un yang rejimnya dituduh melakukan penyalahgunaan hak-hak asasi manusia dan tanpa belas menekankan gengamannya ke atas kuasa.

"Pertamanya ialah beliau ialah seorang ahli politik. Ia bermakna beliau merupakan seorang pelakon yang bagus," kata seorang penganalisis Andrei Lankov daripada Kumpulan Risiko Korea.

Bagaimanapun, Jong-un "benar-benar mahu rakyantanya hidup dalam keadaan baik," tambahnya.

"Sudah semestinya, meneruskan kehidupan rejimnya adalah lebih penting berbanding petani yang miskin di daerah-daerah yang jauh.

"Peluru berpandu didahulukan tetapi beliau tidak lupa mengenai para petaninya," tambahnya.

Para petani Korea Utara dikatakan hidup dalam kemiskinan di negara itu. - Foto AFP
Para petani Korea Utara dikatakan hidup dalam kemiskinan di negara itu. - Foto AFP

Di bawah kepimpinannya, Korea Utara telah membuat langkah yang pantas dalam program senjata nuklar dan peluru berpandu.

Negara itu juga telah dikenakan sekatan tegas daripada masyarakat antarabangsa sebagai kesan daripada program tersebut.

Namun, negara tersebut telah pun lama dipinggirkan sebelum itu dan menderita selama berdekad-dekad berikutan salah pengurusan ekonomi.

Bekas penganalisis Agensi Perisikan Pusat (CIA), Soo Kim berkata, Jong-un kemungkinan 'menangis untuk menggantikan kegagalannya menyampaikan janji-janjinya kepada rakyatnya'.

Di Korea Selatan, akhbar JoongAng pula menganggap persembahan Jong-un itu sebagai 'air mata buaya'.

Dalam satu rencana editornya, ia menyatakan: "Kim (Jong-un) bertukar menjadi gembira apabila melihat peluru berpandu antara benua bersaiz gergasi pada perarakan tentera." - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!