PKPB: Empat sekatan jalan raya di Putrajaya

Mohd Fadzil melihat persediaan peralatan untuk sekatan jalan raya yang akan dilakukan di Putrajaya bermula tengah malam ini.
Mohd Fadzil melihat persediaan peralatan untuk sekatan jalan raya yang akan dilakukan di Putrajaya bermula tengah malam ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis akan melakukan empat sekatan jalan raya di sekitar Putrajaya menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, empat sekatan jalan raya berkenaan adalah di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju (Mex Expressway), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil, Persiaran Utara Pintu Dua A menghala ke Kajang dan Persiaran Utara Pintu Tiga menghala ke Puchong.

Menurutnya, seramai 188 pegawai dan anggota terlibat pada operasi berkenaan.

"Mereka akan bekerja mengikut penggiliran tiga syif di sekatan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan menghadapi PKPB di sini sebentar tadi

Beliau berkata, orang ramai tidak dibenarkan keluar dan masuk ke Putrajaya bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

"Bagi mereka yang bekerja, sila kemukakan pas kerja ataupun surat majikan kepada anggota di sekatan jalan raya," katanya.

Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali
Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali

Mohd Fadzil berkata, sekiranya terdapat urusan kecemasan seperti kematian dan sebagainya, orang awam perlu mendapat kebenaran daripada beliau dan timbalannya.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mereka boleh memohon kebenaran daripada Ketua Balai Presint 7 dan Presint 11," katanya.

Pada perkembangannya sama, beliau berkata, cuti semua pegawai polis di daerah ini dibekukan berkuatkuasa serta merta sehingga dimaklumkan kelak.

"Mana-mana pegawai yang sedang bercuti akan dipanggil balik melainkan mereka yang bercuti di Sabah, Sarawak.

"Pegawai yang sedang bercuti di Sabah dan Sarawak tidak perlu pulang ke Putrajaya sebaliknya perlu melaporkan diri ke balai berdekatan tempat beliau bercuti bagi meneruskan tugas," katanya.

Ditanya mengenai adakah pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan diberi kebenaran untuk merentas daerah, Mohd Fadzil berkata, ia tidak sama sekali dibenarkan.

"Sabarlah... hanya 14 hari. Usaha kita untuk mengekang virus ini daripada terus merebak," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati agar mana-mana individu ataupun badan bukan kerajaan untuk menyalurkan sumbangan makanan kepada petugas hendaklah diserahkan kepada IPD.

"Jangan serah di sekatan jalan raya kerana pengalaman lalu, banyak berlaku pembaziran. Jika serah di IPD kita boleh agihkan kepada mana-mana bahagian lain," katanya.

PKPB dilaksanakan di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 14 sehingga 27 Oktober depan susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak sejak kebelakangan ini.