Kawasan sampah haram punca wabak rabies

Musnarizal (kiri) memberi penerangan kepada hadirin mengenai tindakan dan langkah kawalan diambil MPT dalam menangani lambakan anjing liar berkeliaran di daerah LMS hari ini.
Musnarizal (kiri) memberi penerangan kepada hadirin mengenai tindakan dan langkah kawalan diambil MPT dalam menangani lambakan anjing liar berkeliaran di daerah LMS hari ini.
A
A
A
TAIPING - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengenal pasti lebih 50 kawasan sampah haram di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) yang berpotensi menjadi kawasan pembiakan anjing liar yang sekaligus mengundang wabak penyakit anjing gila atau rabies.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Musnarizal Abdul Manaf berkata, pihaknya mengenal pasti antara lokasi tumpuan utama anjing liar di kawasan Tupai, Simpang, Kota Jaya, Pokok Assam dan Aulong di mana jarak radius antara kawasan sangat dekat.

Menurutnya, sehingga kini, MPT dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar daerah LMS menganggarkan bilangan anjing liar masih berkeliaran di daerah ini dalam lingkungan 900 hingga 1,000 ekor.

"Sejak daerah LMS diwartakan kawasan wabak rabies 14 Januari lalu, MPT dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah melupuskan 347 anjing liar sehingga hari ini dengan operasi dilaksanakan bermula 6 petang hingga 7 pagi setiap hari.

"Bagaimanapun, masalah anjing liar masih tidak boleh ditangani sekiranya masalah sampah haram masih berleluasa, meskipun terdapat dua kawasan sampah haram di Changkat Larah dan Kamunting berjaya diatasi pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya kepada media di sini hari ini.

Musnarizal berkata, masalah sampah haram adalah berpunca daripada sikap penduduk dan pengusaha makanan sendiri di mana tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu memberi sumber makanan kepada kumpulan anjing liar lalu dijadikan lokasi membiak.

"Di samping itu, kaedah kita melupuskan sisa makanan di rumah dengan tidak efektif juga menjadi punca kehadiran anjing liar ke taman perumahan di mana ada sebilangan penduduk tidak membuang sampah di dalam tong sampah disediakan," katanya.

Musnarizal turut memberi penekanan kepada kesemua pemilik anjing di daerah LMS untuk memastikan anjing peliharaan mereka menerima lesen daripada PBT.

Menurutnya, tindakan itu penting bagi menentukan sama ada anjing yang ditemui PBT merupakan anjing dipelihara atau anjing liar sebelum tindakan pelupusan diambil.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang PBT dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang menumpukan usaha pelupusan kepada anjing liar yang berkeliaran dalam radius 10 kilometer dari kawasan wabak rabies.

"Bagaimanapun, dalam Undang-undang Kecil Perlesenan Anjing MPT 1991, pemilikan anjing harus berlesen dan pemilik memastikan anjing dipakaikan rantai leher.

"Apabila anjing peliharaan berada di luar premis, haiwan itu haruslah diikat dan ditemani pemilik anjing dan tindakan tegas akan diambil termasuk tindakan pelupusan kepada mana-mana pemilik ingkar," katanya.