Tahanan reman disyaki punca penularan Covid-19 di Baling

Dr Mohd Hayati Othman
Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang individu yang pulang menjalani tahanan reman disyaki menjadi punca jangkitan Covid-19 di sebuah kampung di daerah Baling semalam.

Exco Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat ini petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan saringan kepada kontak rapat individu berkenaan.

Katanya, saringan melibatkan penduduk dari 24 buah rumah di kampung berkenaan yang merupakan jiran kepada individu tersebut.

"Apabila tamat tahanan reman, mereka bebas bercampur dengan orang awam tetapi kita tidak melakukan saringan kepada semua penduduk daerah Baling sebaliknya yang ada kontak rapat dengan dia sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, dua buah sekolah di daerah Baling iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling dan SMK Bongor diarahkan tutup sehingga 17 Oktober ini.

Dua lagi sekolah yang diarahkan tutup ialah SMK Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau di Pokok Sena.

Exco Pendidikan Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, penutupan itu dibuat susulan terdapat guru dan murid disahkan positif Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Semua pelajar, guru dan anggota kumpulan pelaksana kini menjalani kuarantin di rumah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Setakat semalam, Kedah mencatatkan 1,305 kes aktif Covid-19 dengan 16 kes baharu membabitkan Kluster Tembok di Kota Setar dan Pokok Sena serta satu kes saringan kontak rapat.