UMNO Perak cabar Arafat kemuka bukti

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - UMNO Perak mencabar Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhammad Arafat Varisai Mahamad mendedahkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa menyokong pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, alasan diberikan langsung tidak berasas, malah tiada sebarang perbincangan dibuat terhadap usaha tersebut.

Beliau berkata, dakwaan itu sekadar spekulasi semata-mata sedangkan pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan seperti sedia kala.

"Arafat ini macam Datuk Seri Anwar Ibrahim di (kerajaan) Pusat. Mengaku ada 'numbers' tapi bila minta bukti, tak boleh nak bagi. Kalau betul ada, senaraikan nama sebagai bukti. Kita tahu itu semua tak berlaku pun dan kita masih bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kalau pun ada isu, semuanya boleh diselesaikan sesama parti. Dalam parti sendiri pun, ada perbezaan pandangan tapi kita boleh selesaikan secara baik, jadi bukan isu besar pun," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhammad Arafat yang juga ADUN Hulu Kinta dalam sebuah portal berita mendakwa, sekurang-kurangnya enam ADUN UMNO sedia menyokong pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan usaha dilakukan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Saarani berkata lagi, kesemua anggota kerajaan kini hanya memberikan tumpuan terhadap soal keperluan dan kebajikan rakyat berbanding berpolitik sepanjang masa.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud menegaskan bahawa kerajaan negeri sehingga kini masih utuh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dakwaan yang dilemparkan hanyalah sekadar rekaan untuk menghangatkan suasana politik semasa kerana sehingga kini tiada sebarang bukti dikemukakan.

"Saya percaya kesemua sahabat saya masih menyokong dan mempertahankan kerajaan PN. Kita hanya fokus kepada permasalahan rakyat yang perlu diselesaikan tambahan negara sedang dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

"Mereka sengaja reka cipta kerana mahu menimbulkan rasa tak selesa dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sementara itu, mengenai kemungkinan UMNO dan DAP bekerjasama membentuk kerajaan, Ahmad Saidi yang juga ADUN Changkat Jering menjelaskan perkara itu tidak akan berlaku seperti dijelaskan pimpinan tertinggi parti.

Katanya, memang tiada sebarang perancangan untuk UMNO bekerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan bersama.