Tujuh pasukan dalam radar FAM

Sheikh Mohd Nasir
Sheikh Mohd Nasir
A
A
A

MELAKA United dan Pahang diberikan tambahan masa sehingga 31 Oktober ini untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan bagi membolehkan mereka mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M ) musim depan.

Pengerusi FIB Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, kedua-dua pasukan itu diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat buat masa ini dan kegagalan untuk berbuat demikian akan menyaksikan mereka boleh dikenakan hukuman.

Menurutnya, selain dua pasukan CIMB Liga Super itu, sebanyak lima pasukan Liga Premier - Kuching FA, Kelantan FA, UKM FC, Pulau Pinang FA dan Sarawak United FC turut diberikan lesen bersyarat.

"Bagi kesemua tujuh pasukan yang diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat itu, mereka perlu melengkapkan keperluan yang telah disyaratkan sebelum atau pada 31 Oktober.

"Jika pasukan terbabit gagal melengkapkan keperluan sebelum atau pada 31 Oktober, FIB mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan seterusnya yang boleh terdiri daripada denda, pemotongan mata, penurunan liga dan mungkin juga lesen boleh ditarik balik," katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak sembilan pasukan daripada 20 pasukan CIMB Liga Super dan Liga Premier yang telah memohon untuk lesen AFC bagi musim 2021.

"Namun, hanya lapan pasukan yang telah lulus dan diberikan lesen AFC bagi membolehkan pasukan-pasukan terbabit beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2021 dan Piala AFC 2021 jika layak.

"Mereka adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak FA, Selangor FA, Terengganu FC, Felda United FC, Petaling Jaya City FC, Kedah FA dan Kuala Lumpur FA. Bagaimanapun, Melaka FA gagal mendapat lesen AFC kerana gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan untuk lesen AFC," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan proses pelesenan kelab yang dilakukan setiap pasukan sebelum ini telah banyak membantu FAM mengurangkan bilangan atau jumlah kes tunggakan gaji pemain dan pegawai daripada setahun ke setahun.

"Sebagai contoh, jumlah kes tunggakan bayaran kepada pemain dan pegawai (termasuk gaji dan pampasan) yang telah diputuskan oleh FAM dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2019 dan 2020 adalah sebanyak 65 kes iaitu berjumlah RM8,694,100.32.

"Bagaimanapun, selepas FAM bekerjasama rapat dengan semua pasukan terbabit dan menekankan kepentingan untuk menyelesaikan tunggakan tersebut bagi mendapatkan lesen kelab, jumlah terkini kes aktif adalah sangat rendah iaitu hanya sebanyak tujuh kes.

"Setakat 30 September, jumlah kes tunggakan bayaran yang berjaya diselesaikan ialah 58 kes membabitkan RM8,129,160.59. Dengan langkah mewajibkan pengisytiharan SD pada 2019, FAM berjaya menyelesaikan 297 kes tunggakan pembayaran kepada pemain dan pegawai dengan jumlah RM912,717.08," ujarnya.