Penentang Saudi terselamat tidak terima nasib seperti Khashoggi

Al-Jaraba
Al-Jaraba
A
A
A

BEIRUT - LUBNAN. Seorang penentang politik Arab Saudi bernasib baik kerana tidak menerima takdir sama seperti wartawan terkenal, Jamal Khashoggi yang dibunuh kejam di Konsulat Riyadh di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Pemimpin kumpulan penentang Harakat al-Karama itu, Maan al-Jaraba membuat pendedahan itu menerusi wawancara eksklusif bersama rangkaian berita Lebanon Debate.

Sumber rapat al-Jaraba memberitahu kejadian itu berlaku 10 hari sebelum insiden pembunuhan Khashoggi selepas beliau dipanggil ke Kedutaan Saudi di Lubnan pada September lalu.

"Selepas beberapa tahun disenaraihitam, al-Jaraba dihubungi pegawai di kedutaan terbabit di Beirut kononnya mahu berbincang untuk membawanya pulang ke Riyadh.

"Beliau kemudiannya memandu ke tempat pertemuan itu diiringi tiga pengawal peribadi bersenjata selain beberapa anggota keselamatan ditempatkan di kawasan berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga," ujarnya.

Jelasnya, pegawai kedutaan tersebut terkejut selepas melihat al-Jaraba bersama pengawal peribadinya.

"Mereka kemudiannya cuba memujuk beliau kembali ke Saudi dan mendakwa akan diberi kebebasan untuk meneruskan gerakannya. Al-Jaraba bagaimanapun menolak tawaran itu dan rundingan tersebut akan disambung semula. Tidak lama selepas itu, kami dikejutkan dengan berita pembunuhan Khashoggi.

"Selepas apa yang berlaku di Istanbul, ia membuktikan al-Jaraba terselamat daripada menerima nasib sama seperti Khashoggi. Beliau tidak percayakan mereka. Jadi, al-Jaraba mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa pengawal peribadinya. Ia mungkin telah menyelamatkannya," tambahnya lagi. - Press TV

Artikel Berkaitan: