Bolot RM110,000 dalam satu malam

Jurey Latiff bersama keratan berita tentang kemenangan besarnya dalam Anugerah Seri Angkasa 2005.
Jurey Latiff bersama keratan berita tentang kemenangan besarnya dalam Anugerah Seri Angkasa 2005.
A
A
A

“MALAM itu kami pulun habis anugerah sampaikan Rashid Sibir sempat usik saya masa dia serahkan trofi. Dia kata ‘asyik muka engkau je menang’,” kata Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli.Momen ketika dua telefilem arahannya membolot hadiah utama Anugerah Seri Angkasa pada 2005 itu dikongsi bersama Sinar Ahad ketika Jurey Latiff ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemenangan yang diraih menerusi telefilem Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan dan Anak Penarik Beca itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai lebih RM110,000.

Malam penuh berprestij itu menyaksikan figura yang kini berusia 54 tahun bersama kru produksinya menggondol Anugerah Drama Televisyen (TV) Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan lakonan Safura Yaacob.

Anak Penarik Beca lakonan Wan Hanafi Su pula merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Audio Terbaik dan Skrip Terbaik.Mengimbau kembali detik ‘gemilang’ tersebut, anak kelahiran Lenggong, Perak itu kelihatan sangat teruja. Bagi Jurey Latiff, ia adalah kenangan paling membanggakan seumur hidupnya dan memahat sejarah berharga lebih-lebih lagi dua telefilem itu merupakan karya arahan sulungnya.

“Sebagai pengarah baharu, saya tak jangka langsung akan menang apatah lagi terpaksa bersaing dengan nama-nama besar seperti Aziz M Osman dan Rashid Sibir.

“Masa itu orang kenal saya sebagai penerbit sahaja. Jadi langsung tidak terlintas pada malam itu saya dan kru produksi asyik naik pentas, macam kami kuasai Pusat Konvensyen Kuala Lumpur tempat berlangsungnya majlis itu,” katanya.

Ujarnya, ketika mengambil keputusan untuk menceburi cabang baharu sebagai pengarah, apa yang bermain dalam kepalanya hanyalah untuk menyiapkan kedua-dua naskhah itu dan ia lulus tapisan untuk tayangan di kaca TV.

“Waktu itu saya risau kalau karya saya tak layak ditayangkan di TV kerana kebetulan masa itu ada kes pengarah yang dah siapkan telefilem tapi tak dapat ditayangkan sebab wujud masalah termasuk seperti dari segi kualiti arahan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi ‘siapa Jurey waktu itu?’ Sebab itu saya tidak letakkan apa-apa harapan pada telefilem berkenaan,” katanya.

Ibarat tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, pencapaian itu sekali gus melonjakkan nama beliau sebagai antara pengarah drama dan filem tanah air yang disegani sehingga kini.Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum terjun ke bidang seni, Jurey Latiff merupakan juruteknik penyelenggaraan kapal terbang di sebuah syarikat swasta dari tahun 1990 hingga 1995.

Justeru, keputusannya untuk mengubah karier 360 darjah itu disifatkan sebagai satu pengorbanan yang tidak sia-sia.

“Peralihan saya adalah 360 darjah kerana daripada karier asal saya sebagai juruteknik penyelenggaraan pesawat, saya beralih ke bidang seni apabila diterima bekerja dengan sebuah syarikat penerbitan, Perkasa Filem Malaysia Sdn Bhd, sebagai pengurus operasi. Dari situ saya mula menerbitkan program-program TV.

“Kemudian pada 1996 ketika Astro yang merupakan stesen TV satelit pertama di Malaysia mula beroperasi dan menawarkan banyak jawatan kosong, saya juga memohon.

“Saya kemudian diberi kepercayaan menggalas jawatan sebagai penerbit penyelaras Astro Shaw Sdn Bhd iaitu anak syarikat Astro pada 1997,” katanya.

Jurey Latiff
Jurey Latiff

Mahakarya

Bagaimanapun, selepas berkhidmat selama lima tahun, beliau memutuskan untuk memberi tumpuan mengaktifkan syarikat penerbitannya, Jurey Produksi Malaysia Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 1996 sebelum dijenamakan semula kepada World Evolution Brain (M) Sdn Bhd pada 2000.

“Ketika itu syarikat saya ditawarkan kontrak untuk menguruskan penerbitan filem Paloh pada 2002 jadi saya meletakkan jawatan di Astro.

“Filem Paloh adalah projek terbesar saya dapat dengan nilai kontrak RM3.9 juta,” katanya.

Sejak bergelar penerbit dan selepas lebih 18 tahun menguruskan syarikat sendiri, ratusan karya sama ada filem, telefilem dan drama dihasilkan beliau sehingga kini. Antara filem yang diterbit dan diarahkan beliau ialah Nafas Cinta, KL Menjerit, Idola, Libas, Malay Regiment dan Tangisan Akinabalu.

Menyentuh mengenai karya terbaharunya, Jurey Latiff berkata, beliau sedang dalam proses menghasilkan drama rantaian 13 episod yang dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Beliau menganggap Tok Guru sebagai satu mahakarya yang boleh ditonjolkan ke peringkat antarabangsa.

Tok Guru menggunakan latar 1945 ketika era Malayan Union dan mengetengahkan kisah perjuangan guru tahfiz untuk menyedarkan guru-guru agama lain yang masih enggan menerima kemajuan termasuk penggunaan bahasa Inggeris.“Drama bersiri ini akan menggandingkan pelakon hebat Sabri Yunus dan Izzue Islam sebagai teraju utama dan akan memulakan penggambaran pada Disember ini,” jelas beliau.

Jurey Latiff juga mempunyai saluran TV berbentuk servis komuniti di laman Facebook dikenali sebagai Lenggong TV yang mempromosikan keunikan dan tarikan serta masalah rakyat di tempat kelahiran beliau itu.

Saluran yang diwujudkan pada 2018 itu sekarang mempunyai pengikut hampir 60,000 orang. Setiap video yang dimuat naik mencapai jutaan tontonan hingga model saluran yang diperkenalkan beliau itu telah dibawa dan dibentangkan seorang ahli akademik ke Universiti Chittagong, Bangladesh untuk diaplikasikan di negara berkenaan.

Selain dikenali sebagai pengarah bergenre kemanusiaan yang tidak mementingkan keuntungan semata-mata, Jurey Latiff juga aktif memperjuangkan nasib anak seni menerusi badan bukan kerajaan (NGO) termasuk dalam PVTM.

Menurutnya, perkara yang sedang diperjuangkan beliau ketika ini adalah untuk mengubah ekosistem industri hiburan negara untuk memberi jaminan masa depan kepada semua penggiat seni.

Jurey Latiff menerima 'Certified Professional Master of Creative Industry-Film and TV pada 2018 yang turut menjadi kenangan terindah beliau.
Jurey Latiff menerima 'Certified Professional Master of Creative Industry-Film and TV pada 2018 yang turut menjadi kenangan terindah beliau.


PROFIL


Nama: Datuk Jurey Latiff Rosli

Umur: 54

Asal: Kampung Kubang Jambu, Lenggong, Perak

Isteri: Stelyviana Sapireh

Anak: 14 orang

Jawatan lain dalam NGO:

-Pengerusi Koperasi Seniman Kuala Lumpur Bhd

-Pengerusi Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG)