Sila log masuk terlebih dahulu.

Letusan Covid-19 di sebalik tirai besi

Kluster Tembok di Penjara Alor Setar mencatatkan penularan kes Covid-19 tertinggi dalam tempoh dua minggu apabila sejumlah 1,207 kes positif direkodkan. Gambar kecil: Dr Malina dan Dr Zainal
Kluster Tembok di Penjara Alor Setar mencatatkan penularan kes Covid-19 tertinggi dalam tempoh dua minggu apabila sejumlah 1,207 kes positif direkodkan. Gambar kecil: Dr Malina dan Dr Zainal
A
A
A

GELOMBANG ketiga Covid-19 membadai Malaysia sejak 1 Oktober lalu apabila tiba-tiba angka pesakit positif virus maut itu melonjak kepada 260 kes. Sejak itu, pertambahan kes baharu tidak dapat ditahan lagi dengan beberapa rekod tertinggi dicatatkan.

Setakat semalam, rekod paling tinggi positif Covid-19 ialah sebanyak 691 kes pada 6 Oktober lalu.

Walaupun tidak dinafikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 antara penyumbang kepada pertambahan kes, ramai yang mungkin tidak menyedari penularan paling ganas sebenarnya berlaku di sebalik tirai besi dan kem tahanan.

Pertambahan kes positif Covid-19 melibatkan banduan, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kakitangan penjara di seluruh negara kini mencecah 1,126 setakat 5 Oktober.

Timbul tanda tanya, bagaimana virus Covid-19 boleh menembusi tembok tinggi dan tirai besi di penjara serta kem tahanan PATI.

Berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia, penularan itu bermula di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan kluster dipanggil Kluster Benteng Lahad Datu itu berpunca daripada dua PATI yang ditahan di lokap IPD Lahad Datu sebelum berjangkit kepada seorang banduan dari Penjara Tawau pada 1 September.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) membawa peralatan sanitasi selepas keluar dari Penjara Reman Pulau Pinang semalam.
Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) membawa peralatan sanitasi selepas keluar dari Penjara Reman Pulau Pinang semalam.

Lebih tragis, kluster itu tercetus dua hari sebelum bermulanya kempen PRN Sabah. Sehingga kini sebanyak 967 kes positif Covid-19 dicatatkan.

Tidak lama selepas itu, timbul satu lagi kluster baharu dikenal pasti dalam kalangan PATI di Kunak, Sabah pada 12 September yang dipanggil Kluster Laut.

Tidak terhenti di situ, 29 September lalu negara mendepani satu kluster melibatkan banduan dan kakitangan penjara teramai iaitu Kluster Tembok di Penjara Alor Setar, Kedah.

Kluster ini dikesan pada 29 September lalu membabitkan seorang kakitangan penjara yang kemudiannya meninggal dunia. Kesan pembawaan virus oleh pesakit indeks kluster berkenaan, jumlah terkumpul bagi kes kluster ini adalah sebanyak 1,207 kes.

Secara umum, pakar perubatan kesihatan awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berpendapat agak mustahil jangkitan Covid-19 bermula dari dalam penjara atau kem tahanan secara sendiri kerana penghuni tirai besi sememangnya terhalang dari dunia luar.

Katanya, jangkitan biasanya berpunca daripada komuniti umum seperti tahan baharu atau kakitangan sendiri.

“Satu lagi keadaan, banduan atau PATI yang terlibat dengan Kluster Tembok dan Benteng LD, mereka mungkin sekali sekala dibenarkan mendapatkan rawatan di hospital.

“Justeru, apabila mereka terdedah dengan keadaan di luar, jangkitan Covid-19 mungkin berlaku tanpa disedari,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun kerajaan memberi jaminan kes kluster penjara dan PATI tidak akan menjejaskan rakyat, namun pihak berkuasa perlu memastikan koordinasi kerjasama antara kementerian dan agensi lebih tepat dan strategik.

“Kenaikan semula kes Covid-19 yang berlaku ketika ini jelas disebabkan pertimbangan kerajaan yang bersifat underestimated dan overconfidence terhadap taburan jangkitan, tingkah laku ahli politik pada PRN Sabah, kegagalan pematuhan amalan prosedur operasi standard dan penguatkuasaan perundangan bersifat dwistandard.

“Justeru, langkah terbaik adalah meningkatkan prestasi komunikasi risiko selain melakukan koordonasi lebih baik antara kerajaan dan pihak berkuasa.

“Kerajaan mesti memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak berkuasa penjara dengan pelbagai kaedah berkesan bagi mengawal serta menyekat penularan Covid-19 terhadap komuniti luar,” katanya.

JUMLAH KES COVID-19 MENGIKUT KLUSTER PENJARA DAN PATI

PECAHAN KES AKTIF COVID-19 DI PENJARA
PECAHAN KES AKTIF COVID-19 DI PENJARA

KLUSTER BENTENG LAHAD DATU - 31 OGOS 2020

- Bermula apabila dua PATI telah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah 24 Ogos lalu.

- Dua pesakit indeks itu didapati positif Covid-19 pada 31 Ogos. Mereka dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

- Sehingga kini, kluster ini telah merekodkan kes positif Covid-19 sebanyak 954 kes.

KLUSTER LAUT (KUNAK, SABAH) - 12 SEPTEMBER 2020

- Satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Laut dikenal pasti dalam kalangan PATI di Kunak, Sabah.

- Seorang PATI menyusup dari Zamboanga, Filipina ke Sabah untuk melawat isterinya. Isterinya disahkan positif Covid-19 sewaktu menjalani rawatan selepas bersalin di di Hospital Tawau.

- Sehingga semalam, jumlah yang terkumpul daripada kluster berkenaan adalah sebanyak 109 kes.

KLUSTER TEMBOK (PENJARA ALOR SETAR) - 29 September 2020

- Kluster ini dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September lalu.

- Jangkitan kluster ini berlaku dan merebak di pusat penjara di Kota Setar dengan kes indeks tersebut adalah kakitangan penjara yang meninggal dunia beberapa hari sebelum itu.

- Sehingga kini, jumlah terkumpul bagi kes kluster ini adalah sebanyak 1,200 kes.

KLUSTER BENTENG PELABUHAN KLANG, SELANGOR - 28 September 2020

- Kluster ini dikenal pasti hasil saringan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Klang, Selangor.

- Saringan tersebut telah dijalankan dari 16 hingga 25 September 2020 dengan lapan orang PATI dikesan positif Covid-19.

- Sehingga kini, seramai 15 dikenal pasti positif Covid-19.

KLUSTER BATU (TAIPING, PERAK) - 5 OKTOBER 2020

- Kluster baharu ini dikenal pasti di Taiping, Perak dengan hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan mendapati 7 kes dikesan positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu.

-Tiada kes susulan dicatatkan sehingga kini.

KLUSTER PENJARA REMAN (TIMUR LAUT, PULAU PINANG) - 7 OKTOBER 2020

- Kluster ini dikenal pasti di daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

- Kes indeks kluster tersebut iaitu kes ke-13,499 merupakan kes kematian ke-141 yang dijumpai tidak sedarkan diri di dalam penjara pada 5 Oktober lalu.

- Sehingga kini, seramai 286 individu telah disaring yang mana 78 orang disahkan negatif Covid-19 dan 201 individu lagi masih menunggu keputusan.

(Pada ketika ini, jumlah aktif Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara seluruh negara telah bertambah 453 kes kepada 1,126 kes setakat 6 Oktober berbanding 673 kes pada 5 Oktober)

Kluster penjara, PATI
Kluster penjara, PATI

JUMLAH KES COVID-19 SETAKAT 9 OKTOBER

- Gelombang ketiga Covid-19 menyebabkan beberapa negeri mencatatkan peningkatan mendadak kes positif terutamanya Sabah dan Kedah.

- Malah sejak Selasa lalu, Sabah menjadi negeri dengan rekod kes tertinggi memintas Kuala Lumpur/Putrajaya dan Selangor.