Bahaya kemurungan, depresi

A
A
A

Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut pada 10 Oktober setiap tahun. Antara penyakit mental yang terus diberi fokus adalah kemurungan atau depresi. Ia merupakan kecelaruan mental yang paling mudah dihidap oleh manusia pascamoden.

Pada beberapa dasawarsa kebelakangan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi fokus kepada penyakit itu yang semakin menjadi beban kepada insan sejagat.

Oleh sebab prevalens kecelaruan mental yang lain juga semakin meningkat di dunia, maka persidangan WHO pada Mei 2013 telah meluluskan resolusi untuk melaksanakan satu respons yang terselaras terhadap semua kecelaruan mental pada peringkat negara.

Laporan WHO sebelum era Covid-19 bertarikh 30 Januari 2020 menganggarkan seramai 264 juta manusia daripada pelbagai kelompok usia menghidap kemurungan. Ia adalah sebab utama ketidakupayaan dan beban penyakit di seluruh dunia. Wanita lebih mudah mengalami kemurungan dibandingkan dengan lelaki.

Kita perlu membezakan antara kemurungan dengan turun naik (fluctuation) mood dan respons emosi yang berlaku seharian. Jika anda dimarahi bos dan terus berasa sedih, resah dan marah untuk seminggu dua, itu bukanlah kemurungan jika anda dapat mengatasinya beberapa hari kemudian.

Jika anda seorang bos dan menjadi murung, hilang selera, sukar tidur, resah dan hilang minat kepada kerja yang pernah disukai selama banyak minggu semata-mata kerana seorang pekerja memaki anda, itulah kemurungan.

Kemurungan disebabkan oleh interaksi faktor biologikal, psikologikal, sosial dan spiritual yang kompleks. Banyak sebab kemurungan, antaranya penyakit kencing manis, disfungsi seksual, tekanan tempat kerja, masalah rumah tangga, suasana sosiopolitik, sosioekonomi dan konflik spiritual.

Apa yang memerlukan perhatian perubatan adalah intensiti kerendahan mood yang melampau dan tidak kunjung hilang selama beberapa minggu. Ia adalah satu keadaan kesihatan yang serius dan boleh menyebabkan gangguan fungsi di tempat kerja, di sekolah dan dalam keluarga.

Artikel Berkaitan:

Rawatan

Walaupun wujud rawatan yang efektif bagi kecelaruan mental, antara 76 peratus dengan 85 peratus rakyat negara berpendapatan pertengahan dan rendah tidak menerima rawatan yang wajar bagi penyakit mereka. Sebabnya adalah kekurangan sumber, kemangkiran (absence) perkhidmatan kesihatan yang baik dan stigma sosial yang dikaitkan dengan kecelaruan mental.

Kecelaruan kemurungan yang berulang-ulang sangat berbahaya. Pesakit mengalami murung, hilang minat dan keseronokan dalam hidup, kekurangan tenaga serta aktiviti berkurangan selama sekurang-kurangnya dua minggu.

Ramai pesakit kemurungan juga menghidap simptom kebimbangan (anxiety), gangguan tidur dan selera, perasaan bersalah atau diri kurang berharga, penumpuan yang lemah dan simptom yang tidak boleh diterangkan oleh diagnosis perubatan.

Episod kemurungan boleh dikategorikan sebagai ringan, sederhana dan teruk menurut bilangan serta keterukan simptom yang dialami.

Antara rawatan psikologi dan spiritual yang perlu dilaksanakan sesuai dengan keperluan pesakit ialah terapi kognitif tingkah laku dan terapi psikospiritual termasuk solat, doa dan ruqyah. Pengendalian sosial dan terapi sosial merupakan rawatan kemasyarakatan. Apa pun rawatan yang dipilih, ia mestilah dikendalikan oleh profesional yang terlatih dan beretika.

Ramai yang pulih daripada kemurungan dapat mengenal diri mereka kembali dan membetulkan niat dalam hayat. Akhirnya mereka mengecapi kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan. Perlu diingat, kejayaan tidak semestinya dihubungkan dengan kekayaan tetapi itu cerita yang lain pula.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penggiat masyarakat dan ahli Akademi Profesor Malaysia