Agihan pendapatan PHB, MAM 2.40 sen seunit

No Image Caption
A
A
A

PELABURAN Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan agihan pendapatan kedua dan terakhir dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.40 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2020.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, pengagihan pendapatan itu adalah untuk tempoh enam bulan bermula dari 1 April 2020 sehingga 30 September 2020.

Menurutnya, jumlah tersebut terdiri daripada agihan pendapatan sebanyak 2.25 sen seunit dan agihan bonus sebanyak 15 sen seunit.

"Pendapatan bonus ini diagihkan untuk 500,000 unit pertama yang dipegang setiap pemegang unit. Tempoh enam bulan kedua yang berakhir pada 30 September 2020 ini adalah tempoh yang sangat mencabar bagi kami disebabkan oleh pandemik koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun begitu, kami berpendapat bahawa jumlah 2.40 sen per unit atau dasar tahunan kurang dari lima peratus, masih merupakan pulangan yang kompetitif untuk tempoh enam bulan di antara April dan September 2020," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, semasa tempoh itu, PHB memperuntukkan kira-kira RM32 juta untuk Program Bantuan Sewa untuk membantu penyewa yang terjejas akibat PKP.

"Bantuan dalam bentuk pengecualian bayaran sewa dan penangguhan diberikan kepada para penyewa yang beroperasi di semua bangunan milik PHB. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami terhadap seruan kerajaan untuk membantu para peniaga di Malaysia," katanya.

Terdahulu pada April 2020, PHB dan MAM telah mengumumkan agihan pendapatan interim AHB sebanyak 2.30 sen seunit dengan agihan bonus 30 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir pada 31 Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Ia menjadikan jumlah agihan pendapatan kepada 5.00 sen seunit, atau jumlah agihan sebanyak RM188.05 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2020.

Agihan pendapatan akhir AHB dikecualikan cukai dan telah dizakatkan yang akan dikreditkan terus ke akaun bank pemegang unit pada 15 Oktober 2020.

Bagi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ia akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 KWSP.

AHB adalah sebuah dana unit amanah patuh syariah yang disokong hartanah dan pelaburan permulaan minimumnya bagi pelabur individu adalah RM100.

Dana ini direka untuk pelabur yang mencari platform untuk menjana pendapatan tetap dan potensi pulangan konsisten serupa dengan peluang simpanan. PHB adalah penaja AHB sementara MAM merupakan Pengurus Dana.