X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Batu Sapi boleh ditangguh jika kawasan diisytihar darurat

Abdul Ghani Salleh
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu dijalankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan hanya boleh ditangguhkan sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata bagi demikian bagi mengulas berhubung tentangan beberapa pihak yang tidak bersetuju jika PRK Batu Sapi diadakan susulan peningkatan mendadak kes koronavirus (Covid-19) sejak minggu lalu.

Menurutnya, dari segi Perlembagaan apabila ada kekosongan di kawasan terlibat dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga sudah menghantar surat meminta SPR mengisi kekosongan tersebut, maka pihaknya perlu melaksanakan perkara itu seperti yang tertera dalam Perlembagaan.

"Jadi dalam tempoh 60 hari SPR kena ambil tindakan untuk isi kekosongan itu kecuali jika kerajaan isytihar kawasan Batu Sapi ini kawasan merah, keadaan wabak begitu dahsyat dan tidak dapat dikawal serta darurat, barulah PRK ini boleh dipertimbangkan untuk ditangguhkan.

"Jika semua kriteria itu ada, SPR akan akur," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan surat pemberitahuan kepada SPR berhubung kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Katanya, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR Malaysia ada kekosongan.

Sementara itu, mengulas berhubung cadangan agar PRK Batu Sapi ini dibuat secara dalam talian, Abdul Ghani berkata, kaedah itu akan mengambil masa yang panjang kerana ia melibatkan proses perundangan sedia ada.

Menurutnya, ia tidak boleh dijalankan sewenang-wenangnya dan perlu melalui beberapa proses tertentu sebelum dapat dilaksanakan.

"Apabila sesuatu sistem hendak dibuat, ia perlu digazetkan, kena dapat kelulusan akta dan melalui proses undang-undang terlebih dahulu.

"Namun kaedah yang terbaik adalah membuat PRK secara fizikal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain akan membincangkan tindakan lanjut berhubung PRK Batu Sapi pada mesyuarat Selasa depan, SPR juga akan memberi tumpuan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diperketatkan pada PRK itu nanti agar masalah yang timbul sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak berulang.

Katanya, kerjasama daripada masyarakat dan parti politik juga amat penting untuk keselamatan bersama.

Sementara itu, Vui Keong yang berusia 60 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu sejak 9 September lalu dan mendiang dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!