Muafakat Nasional, GRS belum bincang isu tangguh PRK Batu Sapi

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

GOPENG - Pemimpin tertinggi parti komponen dalam Muafakat Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum membincangkan isu penangguhan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata, perkara itu mungkin diteliti sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian berikutan peningkatan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara ini.

"Dalam pengetahuan saya, tiada lagi perbincangan berkenaan menangguhkan PRK ini di peringkat kepimpinan tertinggi parti komponen, tetapi saya kira jika kes-kes positif meningkat hingga boleh merumitkan usaha mengubati pesakit seperti hospital tidak cukup katil dan sebagainya.

"Maka sudah tentulah kita akan cari jalan untuk berbincang berkenaan perkara itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pemprosesan dan Pengumpulan Nanas Gopine (Gopeng Pineapple) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media sama ada cadangan penangguhan PRK Batu Sapi ada dibincangkan bersama antara Muafakat Nasional dan GRS.

Ini berikutan cadangan dikemukakan sesetengah pihak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan PRK itu sehingga keadaan kembali selamat susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 sejak kebelakangan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: SPR dicadang tangguh PRK Batu Sapi

Ahmad Faizal berkata, keputusan mengadakan pilihan raya adalah tertakluk kepada SPR dan tentunya agensi itu akan mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula katanya, negara memandang serius dalam pengawalan wabak dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat berbanding negara lain.

"Sama ada pilihan raya atau aktiviti ekonomi dan lainnya, semua ini kita lakukan untuk tujuan kehidupan, jadi ia boleh diteruskan asalkan SOP ketat diikuti.

"Dalam kempen contohnya, sebelum Covid-19 dulu pun kita banyak berkempen secara dalam talian dan tentu sekali pada masa akan datang, setiap daripada kita akan menjadikan kempen melalui media sosial ini sebagai sebahagian kempen bersemuka," katanya.