Tiada jaminan PN mampu bela Melayu

Fadhlina Siddiq
Fadhlina Siddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) tidak mungkin dapat menunaikan janji untuk membela Melayu dan tiada jaminan nasib kaum majoriti itu terbela di bawah kepimpinan mereka.

Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Siddiq berkata, ini kerana kerajaan PN kelihatannya bersifat status quo dan hanya mengekalkan dasar-dasar dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tanpa menunjukkan mereka meluluskan dasar khas membela Melayu.

"Saya rasa kerajaan PN ini hanya kerajaan status quo sahaja. Mereka tidak ada pun dasar-dasar baharu yang lebih baik dari PH.

"Dalam keadaan sekarang, kepimpinan yang langsung tidak stabil. Bagi saya maknanya tidak ada jaminan langsung Melayu akan lebih baik di bawah mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi Fadhlina, kerajaan PN lebih banyak 'menghadiahkan' politik yang tidak stabil kepada Malaysia daripada membela Melayu.

Menurutnya, tidak mungkin PN akan mampu menggariskan dasar komprehensif membela Melayu kerana gabungan tersebut bukan seperti PH yang melalui perundingan antara parti dan kaum yang panjang dan matang.

"Kita (PH) pertahankan dan konsisten adalah keadilan untuk semua pihak, ini mestilah bukan sahaja dengan dasar-dasar yang ada tetapi juga dengan komitmen yang kita putuskan secara bersama.

"Itulah kelebihan PH berbanding PN kerana proses rundingan dan komitmen ini kita sudah bina bertahun-tahun dan bukan hanya kerana keputusan politik semata-mata untuk mendapatkan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Fadhlina menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak termakan janji PN, apatah lagi politik perkauman yang dibawa mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak ada isu-isu tertentu yang dibangkitkan sesuatu kaum perlu diberi perhatian khusus misalnya dari segi kuasa, pembuat dasar dan pembahagian ekonomi secara adil.

Namun katanya, hal itu tidak bermakna mengetepikan hak kaum lain atau berlakunya penindasan.