X

Kindly register in order to view this article
!

Negeri Sembilan mencari penawar duka

Skuad Negeri Sembilan memburu tiket Piala Malaysia menjelang pertemuan menentang Sarawak United FC di Paroi malam esok.
A
A

NEGERI Sembilan meletakkan sasaran untuk mara dalam saingan TM Piala Malaysia sebagai penawar buat mereka musim ini selepas gagal mendapatkan slot ke CIMB Liga Super 2021.

Bagaimanapun, kapten Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah sedar masih ada ranjau perlu dilalui skuad Hobin Jang Hobin iaitu perlu menang ke atas Sarawak United FC pada aksi terakhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.

“Setelah hajat untuk beraksi dalam Liga Super tidak kesampaian, inilah saja peluang buat Negeri Sembilan melakar sesuatu dan kami tidak rela tercicir dalam saingan Piala Malaysia.

“Aksi Piala Malaysia cukup penting kepada kami sebagai moral kepada pemain yang telah bekerja keras sepanjang musim ini dan mungkin ada sesuatu yang boleh kami capai nanti," katanya.

Sebarang kekalahan akan menutup terus ruang buat Negeri Sembilan untuk mara manakala seri akan membuatkan mereka terpaksa bergantung kepada keputusan pasukan lain membabitkan Kelantan United FC dan UKM FC.

“Cuma kami tahu laluan ke Piala Malaysia masih belum selamat kerana pasukan Sarawak United juga berpeluang jika menewaskan kami di tempat sendiri.

“Sarawak United sebuah pasukan yang baik dan harus diingat perbezaan mata antara semua pasukan tidak begitu jauh.

“Bermain di Paroi tidak menjanjikan apa-apa kelebihan kerana tiada penonton buat masa ini, maka aksi terakhir nanti sebenarnya seimbang kepada kedua-dua pasukan. Jadi kami kena perbaiki segala kelemahan terutama dalam soal penyudah,” katanya.

Negeri Sembilan kini menghuni tangga kelapan Liga Premier - slot terakhir untuk mara ke TM Piala Malaysia kerana Terengganu FC II, Johor Darul Ta’zim II dan Selangor 2 tidak boleh bertanding pada kejohanan berprestij itu memandangkan ketiga-tiga pasukan terbabit merupakan pasukan reserve.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Negeri Sembilan merekodkan tiga kemenangan, dua seri dan lima kekalahan untuk mengumpul keseluruhan 11 mata.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!