Pembaca teruja hantar penyertaan

Pembaca boleh berbincang bersama rakan-rakan dan keluarga bagi mendapatkan jawapan betul untuk Peraduan Sinar Harian Di Hatiku yang disiarkan setiap hari dalam akhbar Sinar Harian.
Pembaca boleh berbincang bersama rakan-rakan dan keluarga bagi mendapatkan jawapan betul untuk Peraduan Sinar Harian Di Hatiku yang disiarkan setiap hari dalam akhbar Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejak dilancarkan pada Isnin lalu, Peraduan Sinar Harian Di Hatiku yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM60,000 dan barangan menarik sudah mendapat sambutan luar biasa daripada pembaca setia Sinar Harian.

Dalam peraduan bertemakan Malaysia Indah itu, Sinar Harian menyediakan hadiah utama peraduan dengan sejumlah wang tunai RM30,000 diikuti hadiah kedua wang tunai RM8,000 dan tempat ketiga wang tunai RM2,000 serta lima hadiah sagu hati bernilai RM1,000.

Tidak cukup dengan wang tunai, peraduan yang akan berakhir pada 29 November ini turut memberi peluang buat para pembaca untuk memenangi hadiah-hadiah iringan dan sagu hati seperti motosikal, basikal, televisyen, kamera dron dan banyak lagi.

Editor Premium Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, pihak urusetia peraduan menerima panggilan dan mesej WhatsApp daripada puluhan pembaca setiap hari yang teruja untuk menghantar penyertaan.

“Sebahagian besar pembaca ingin mendapatkan pengesahan mengenai pelbagai syarat dan mekanisme peraduan.

“Tidak ketinggalan ramai juga yang bertanyakan mengenai cara penghantaran terutamanya dalam kategori penyertaan kreatif,” katanya di sini semalam.

Satu slogan kreatif

Artikel Berkaitan:

Menurut Zamri, ramai juga pembaca yang ingin mendapatkan kepastian mengenai slogan kreatif peraduan.

Katanya, walaupun borang disiarkan setiap hari, pembaca hanya perlu mencipta satu slogan menarik untuk kelima-lima borang yang dihantar dalam satu penyertaan.

“Jika pembaca mengisi beberapa slogan dalam satu penyertaan, juri akan memilih salah satu yang difikirkan paling menarik dan terbaik,” katanya.

Mengenai alamat penghantaran penyertaan pula, Zamri memaklumkan penghantaran penyertaan boleh dibuat secara pos biasa ke alamat Peti Surat 07008, GPO Shah Alam, 40700 Shah Alam, Selangor.

Tambah beliau, peserta yang berminat boleh menghantar borang menerusi pos laju, kurier atau penyertaan kreatif dalam saiz replika boleh menghantar terus ke alamat No 1, Jalan Renggam 15/5, Seksyen 15, Off Persiaran Selangor, 40200 Shah Alam, Selangor.Kumpul lima keping foto

Menurut Zamri, Sinar Harian akan menyiarkan tujuh foto untuk setiap siri dari hari Isnin hingga Ahad sepanjang berlangsungnya peraduan dari 5 Oktober hingga 29 November 2020.

“Tetapi, pembaca yang berminat untuk menyertainya hanya perlu meneka dan mengumpulkan lima foto untuk setiap satu penyertaan.

“Mekanisme ini diperkenalkan kerana Sinar Harian ingin memudahkan pembaca yang mungkin terlepas satu atau dua foto setiap minggu, selain memberi peluang seramai mungkin pembaca menyertai peraduan ini,” katanya.

Menurut Zamri, setiap gambar yang dihantar perlu dikepilkan bersama borang peraduan asal yang disiarkan setiap hari.

“Perlu diingatkan bahawa setiap penyertaan wajib disertakan bersama lima kepala akhbar (masthead) sama ada masthead Sinar Harian atau Sinar Ahad antara 1 Oktober hingga 29 November 2020.

“Penyertaan boleh dihantar bermula hujung minggu ini (12 Oktober 2020) dan perlu tiba ke alamat Sinar Harian sebelum 14 Disember 2020,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya terdapat 28 keping foto bertemakan destinasi menarik Malaysia disiarkan sepanjang Peraduan Sinar Harian Di Hatiku.

“Dalam setiap minggu atau siri sebanyak tujuh keping foto akan disiarkan. Ia akan diulang siar untuk bulan seterusnya. Bagi peraduan ini, keputusan juri adalah muktamad,” katanya.

Peraduan di media sosial

Dalam pada itu, Sinar Harian turut menganjurkan Peraduan Klik Sinar Harian Di Hatiku untuk pembaca media sosial.

Pembaca yang berminat boleh menyertai peraduan itu tertakluk kepada terma dan syarat yang boleh didapati di akhbar Sinar Harian dan platform SinarOnline dan SinarHarianWebTV.

“Bagi peraduan ini, Sinar Harian menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM5,000 untuk tempat pertama, diikuti RM3,000 tempat kedua dan tempat ketiga iaitu RM2,000. Peraduan ini bermula 5 Oktober hingga 29 November 2020,” katanya.

Zamri berkata, untuk menyertai peraduan tersebut, pembaca hanya perlu merakam gambar santai dengan keluarga atau rakan-rakan yang berkonsepkan Cuti-Cuti Malaysia bersama akhbar Sinar Harian.

“Pemenang akan dinilai berdasarkan kreativiti foto dan kapsyen yang dimuat naik di Facebook, Instagram atau Twitter. Setiap foto perlu disertakan dengan hashtag #sinarhariandihatiku,” katanya.