Dua lelaki diperdaya

Mohd Wazir
A
A

KUANTAN – Hasrat seorang penolong pegawai di sebuah pajak gadai Islam untuk membuat pinjaman RM25,000 tidak kesampaian, sebaliknya dia berdepan dengan kerugian RM14,855 selepas diperdayakan anggota sindiket pinjaman wang tidak wujud di laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata,mangsa berusia 31 tahun melihat iklan pinjaman peribadi yang dipromosikan di Facebook Selasa lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian tertarik dengan iklan terbabit dan ingin membuat pinjaman sebelum menghubungi lelaki yang menawarkan pinjaman itu.

“Mangsa kemudian berurusan dengan dua lelaki untuk mendapatkan pinjaman berkenaan sebelum diminta menghantar salinan kad pengenalan, slip gaji, bil elektrik.

“Selepas itu, mangsa menerima panggilan menyatakan pinjaman berkenaan sudah lulus sebanyak RM25,000 namun perlu membayar sebanyak RM550 sebagai wang jaminan," katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Mohd Wazir memaklumkan, selepas itu membuat pembayaran itu, mangsa masih lagi diminta membuat pelbagai bayaran sehingga menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM14,855.

Katanya, wang terbabit diminta kononnya untuk tujuan kelulusan pinjaman, cukai dan wang peguam.

“Namun selepas transaksi dibuat suspek mendiamkan diri dan mangsa masih belum mendapat wang pinjaman berkenaan sebelum membuat laporan polis," katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang pekerja syarikat penapis air terpaksa menanggung kerugian RM5,050 selepas diperdaya sindiket yang mengguna modus operandi yang sama.

Menurutnya, mangsa berusia 41 tahun berminat untuk membuat pinjaman berjumlah RM20,000 selepas melihat iklan di Facebook awal bulan lalu.

Jelasnya, bagaimanapun mendapatkan pinjaman berkenaan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran oleh sindiket berkenaan.

“Mangsa telah membuat semua bayaran berkenaan, sindiket berkenaan masih lagi meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM2,000, namun mangsa mula mengesyaki dirinya sudah ditipu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir memberitahu kedua-dua mangsa ini sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia