X

Kindly register in order to view this article
!

Warisan sangkal dakwaan Shafie Apdal rakus kekal kuasa

Shafie Apdal
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) menyangkal tuduhan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nazir Helmi bahawa Presiden mereka, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal rakus untuk kekal sebagai Ketua Menteri menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, peningkatan wabak Covid-19 di negara ini termasuk di Sabah sepatutnya diselesaikan secara bersama oleh parti pemerintah dan pembangkang demi memastikan keselamatan rakyat keseluruhannya dapat dikembalikan.

"Bagaimanapun, kenyataan Nazir melampaui batas dan menunjukkan kedangkalan pemikiran serta sikap bodoh sombongnya kerana tidak melihat dari mana punca sebenar pergolakan politik Sabah.

"Keharmonian politik Sabah sebenarnya digugat oleh sikap tamak oleh Tan Sri Musa Aman yang menerima sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) apabila semua 46 kes rasuah yang dihadapinya digugurkan sebaik sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman

Mohd Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, tindakan 'membeli' Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah digagalkan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengembalikan hak kepada rakyat memilih siapa kerajaan yang dimahukan.

"Memang wujud desakan di mahkamah agar PRN ditangguhkan kerana Covid-19 tetapi bukankah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah menetapkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) sudah disediakan untuk memastikan perjalanan PRN dilangsungkan dengan baik?

"Bukankah SPR juga melalui peguamnya terlibat dalam kes mahkamah tersebut sehingga PRN diteruskan?

"Justeru, persoalan utama yang perlu dilihat adalah pelaksanaan serta pematuhan SOP sepanjang kempen sehinggalah hari mengundi PRN Sabah," katanya.

Beliau berkata, PRN Sabah tidak akan diadakan sekiranya Musa dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak rakus 'membeli' ADUN Sabah untuk memastikan kerajaan Persekutuan yang dibentuk melalui pintu belakang kekal sehinggalah tamat penggal.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!