‘Southampton tetap dalam hati saya’


Walcott (kanan) gagal memberi impak sejak menyertai Everton pada tahun 2018.
Walcott (kanan) gagal memberi impak sejak menyertai Everton pada tahun 2018.
A
A
A

BEKAS pemain sayap lincah England, Theo Walcott kembali ke pangkuan kelab pada zaman kecilnya, Southampton secara pinjaman selama semusim selepas bergelut mendapat tempat bersama Everton.

Walcott yang menghabiskan masa selama 12 tahun di Arsenal sebelum menyertai Everton pada Januari 2018 menganggap dia tidak lagi mendapat peluang di Goodison Park sejak Carlo Ancelotti mengambil alih The Toffees musim lalu.

“Saya menerima tawaran daripada kelab lain tapi apabila Southampton datang kepada saya, ia adalah sebahagian daripada diri saya dan mereka yang menjadikan saya pemain seperti sekarang. Southampton tetap dalam hati saya.

“Saya sebenarnya menangis ketika kali pertama beraksi dan ia sangat memberi makna. Kepada mereka semua yang membuat cita-cita saya tercapai, tidak terbalas budi mereka. Jujurnya, saya sangat gembira,” katanya.

Walcott yang membuat 47 penampilan bersama England dilaporkan telah lulus ujian perubatan semalam dan dia bakal membuat penampilan bersama Southampton pada baki saingan musim ini.

“Southampton dengan bangganya mengumumkan Theo Walcott, salah seorang pemain bekas akademi di sini, kembali semula ke St Mary,” jelas Southampton dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pengendali Southampton, Ralph Hasenhuttl berharap kehadiran Walcott mampu menyuntik semangat baharu buat pasukannya dalam mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

“Ada banyak sejarah antara kelab ini dan Theo, jadi saya tahu betapa istimewa perpindahan ini kepadanya dan penyokong kami. Tetapi apa yang paling penting bagi saya ialah kami telah menandatangani pemain yang dapat membantu pasukan dan memberi kami satu lagi pilihan kuat dalam serangan kami.

Artikel Berkaitan:

“Theo adalah seseorang yang memiliki semua kualiti yang sesuai dengan gaya permainan kami. Saya tahu dia memahami apa yang kami mahukan dan dia juga cukup teruja untuk menjadi sebahagian daripada apa yang kami lakukan,” ujarnya.