X

Kindly register in order to view this article
!

Minyak sawit negara terus jadi ancaman kepada Eropah, AS

Ahmad Parveez (dua dari kanan) dan Ramle (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Luncheon Talk with Editors di Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Potensi besar minyak sawit akan terus menjadi ancaman besar kepada minyak sayuran lain yang dikeluarkan oleh negara-negara Eropah termasuk Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Urusan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Khadir berkata, negara yang menentang minyak sawit akan terus mencari alasan dan pelbagai isu untuk memburuk-burukkan minyak tersebut.

"Mereka akan terus memburukkan minyak sawit dan memberi tekanan kepada kita namun kita akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa bagi menangani isu ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Luncheon Talk with Editors yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) MPOB, Dr Ramle Moslim dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin di sini hari ini.

Majlis itu sepatutnya dihadiri Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, tetapi beliau komited melakukan kuarantin kendiri meskipun mendapati negatif ujian COVID-19 pada hari pertama dan kelima.

Pada 30 September lalu, AS menerusi Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadannya telah mengharamkan import produk sawit daripada syarikat FGV Holdings Berhad berkuat kuasa serta-merta.

Agensi itu berkata, pengharaman itu berdasarkan hasil siasatan selama setahun yang mendakwa syarikat tersebut mengambil tenaga buruh paksa seperti penyeksaan terhadap golongan ditindas, keganasan fizikal dan seksual, melakukan ancaman dan penyimpanan pengenalan diri.

Siasatan itu turut mendakwa bahawa buruh paksa kanak-kanak telah digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit di syarikat tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: AS larang import produk minyak sawit FGV

Dalam pada itu, Ahmad Parveez berkata, AS dan Eropah sebenarnya mahu mempertahankan ekonomi mereka kerana minyak sayuran yang dikeluarkan oleh petani di negara tersebut telah menerima jumlah subsidi yang begitu besar daripada kerajaan.

"Kos penghasilan minyak mereka jauh lebih tinggi daripada pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan oleh negara dunia ketiga. Kos kita lebih rendah kerana produktiviti penghasilan minyak sawit lapan kali ganda lebih tinggi berbanding minyak lain.

"Mereka tidak ada pilihan lain dan menggunakan isu alam sekitar. Mereka hanya mahu mempertahankan perdagangan mereka sahaja," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPOB akan terus melakukan penjelasan menerusi kajian yang telah dijalankan yang menunjukkan penanaman dan pengeluaran minyak sawit Malaysia tidak memberikan kesan kepada alam sekitar.

"Kita beri fakta yang ada untuk pertahankan minyak sawit. Apabila kawasan hutan ditukarkan kepada tanaman kelapa sawit. Kajian terperinci di seluruh negara mendapati masih mengekalkan sebanyak 50 peratus daripada kawasan hutan selaras dengan Perisytiharan Rio bagi Alam Sekitar dan Pembangunan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!