Langkah segera asing tahanan penjara Pulau Pinang

Penjara Pulau Pinang
Penjara Pulau Pinang
A
A
A

GEORGETOWN - Penjara Reman Pulau Pinang mengambil langkah segera dengan menjalankan pengasingan dan kuarantin ke atas banduan serta petugas yang dipercayai mempunyai kontak rapat dengan seorang banduan dilaporkan meninggal dunia dalam penjara itu semalam.

Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara tersebut, namun enggan mengulas sama ada banduan lelaki berkenaan meninggal dunia disebabkan jangkitan koronavirus (Covid-19) ataupun tidak.

“Saya cuma boleh maklumkan sekarang ini kami di penjara, telah mengambil tindakan dengan membuat pengasingan serta mereka yang mempunyai kontak rapat dengan banduan tersebut, dikuarantin bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Berhubung sama ada banduan itu meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19, saya tidak boleh beri sebarang komen, kena tunggu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya di sini hari ini.

Ditanya sama ada mereka yang mempunyai kontak rapat dengan banduan tersebut perlu menjalani ujian saringan Covid-19, beliau memaklumkan ia ke arah itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalid ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut dan meminta menunggu kenyataan akhbar berhubung Covid-19 daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Difahamkan seorang banduan lelaki berusia 85 tahun itu tidak sedarkan diri dalam penjara tersebut sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia. - Bernama

Artikel Berkaitan: