Seorang lagi ADUN Selangor positif Covid-19

Shatiri Mansor
Shatiri Mansor
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) selepas pulang dari Sabah baru-baru ini.

ADUN Kota Damansara, Shatiri Mansor menjadi wakil rakyat kedua di negeri ini yang mengesahkan positif wabak berkenaan menerusi keputusan ujian saringan kedua yang diterimanya hari ini.

Menurut Shatiri, sejurus pulang dari Sabah, dia bersama enam lagi ahli kumpulannya dari Pusat Khidmat DUN Kota Damansara telah menjalani proses saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

"Pada 30 September, isteri saya menerima panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling dan dia disahkan positif wabak berkenaan serta dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Walaupun baki kami enam orang (keputusannya) negatif, namun kami dikehendaki menjalani saringan kali kedua pada 2 Oktober kerana mempunyai kontak rapat.

"Dan hari ini, saya terima panggilan daripada PKD Petaling memaklumkan bahawa keputusan saringan mendapati saya bersama dua anak didapati positif Covid-19 dan akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya menerusi rakaman video di laman Facebook, hari ini.

Terdahulu, ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei turut mengesahkan beliau positif wabak Covid-19 menerusi keputusan ujian saringan kali kedua yang diterimanya hari ini.

Dalam pada itu, Shatiri berkata, tiga daripada tujuh ahli kumpulan yang bersamanya ke Sabah didapati negatif menerusi keputusan ujian saringan kedua itu dan akan menjalani kuarantin di rumah sehingga 16 Oktober.

Artikel Berkaitan:

"Pusat Khidmat DUN Kota Damansara juga akan beroperasi seperti biasa dan pelawat dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Kampung Tunku positif Covid-19