Rugi Felda United FC tarik diri

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

PETALING JAYA - Penarikan diri Felda United FC (FUFC) daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) merupakan kerugian besar kepada arena bola sepak negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, FUFC antara pasukan yang mempunyai daya saing tinggi selain memiliki kemampuan mencabar beberapa pasukan handalan dalam kancah Liga Super.

“Jika boleh (FUFC) memikirkan kembali keputusan yang telah dibuat kerana ia melibatkan warga Felda keseluruhan dan peminat bola sepak FUFC itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat MFL di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Ab Ghani berkata, pihaknya kini menunggu surat pemakluman rasmi berkaitan penarikan diri itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya termasuk menentukan jumlah pasukan bertanding pada saingan Liga-M musim depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam yang terkejut dengan perkembangan itu berharap FUFC terus memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak tanah air meskipun tidak bersaing dalam kancah Liga-M.

"Selain pasukan bertanding, mereka juga penaja dalam beberapa kejohanan futsal. Jadi dalam konteks pembangunan saya harap Felda tidak terus hilang dalam radar bola sepak tempatan. Masih terdapat beberapa usaha yang memerlukan penglibatan Felda," jelas Stuart.

Terdahulu, Felda hari ini mengesahkan penarikan diri FUFC daripada saingan Liga-M bermula musim depan.

Keputusan itu dibuat selepas kira-kira sebulan daripada pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan FUFC dan anak syarikatnya The Fighters Sdn Bhd oleh Felda pada 1 September lepas.

Artikel Berkaitan:

Skuad The Fighters itu antara keseluruhan 21 pasukan Liga-M termasuk pasukan Liga M3 Armed Forces FC yang berjaya melengkapkan proses penswastaan pasukan dan diberi lesen kelab kebangsaan untuk bertanding pada musim 2021.

Felda United menjuarai saingan Liga Premier pada 2010 dan 2018 serta muncul naib juara Piala FA 2014 selain berjaya mara ke separuh akhir saingan Piala Malaysia sebanyak empat kali sejak ditubuhkan pada 2007. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Felda United umum tarik diri